Sunday, December 4, 2022

Hospital gagal siap ikut jadual: SPRM digesa lakukan siasatan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR:  Di sebalik kejadian lima atau enam buah hospital di negara ini yang gagal disiapkan mengikut jadual, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa  melakukan siasatan kalau-kalau terdapat sebarang unsur rasuah atau penyelewengan membabitkan pembinaannya

Pengerusi Biro Integrasi Nasional, Datuk Seri Dr Santhara dalam satu kenyataan berkata, beberapa projek pembinaan hospital yang didakwa gagal disiapkan itu berpunca daripada sumber dana kewangan negara pada masa kini.

“Adakah kemungkinan kegagalan projek ini berpunca daripada amalan rasuah, kroni yang melampau atau ketidakcekapan?

“Sudah pasti setiap projek telah dinilai dan harga yang diumumkan sebenarnya adalah lebih tinggi daripada kos yang sebenar,” katanya.

Susulan kelewatan berkenaan, Santhara berkata, projek-projek penting sebegini tidak dapat disiapkan dan dinikmati oleh rakyat walaupun telah diluluskan sejak sekian lama.

“Jikalau hospital-hospital ini disiapkan kelak, pasti akan mendatangkan pelbagai permasalahan lain antaranya kekurangan kakitangan yang terlatih lebih-lebih lagi yang melibatkan doktor pakar dan sebagainya,” katanya.

Ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Hospital Cyberjaya dua hari lalu, Menteri Kesihatan Dr S. Subramaniam mendedahkan terdapat lima hingga enam hospital “sakit” yang gagal disiapkan mengikut jadual atas faktor-faktor tertentu.

“Hospital-hospital itu kini ada yang ‘sedikit sakit’ dan ada yang sangat ‘sakit’ dan sedang dalam proses ‘rawatan’,” katanya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru