Saturday, June 25, 2022

Teknologi digital dalam pengurusan hutan Finland tambat minat Abang Jo

Secara Rawak

HELSINKI (Finland): Ketua Menteri Sarawak yang tiba di sini sejak pagi Ahad,  memulakan lawatan sambil belajar di Eropah dengan mengadakan kunjung hormat kepada Menteri Pertanian dan Perhutanan Finland, Jari Leppa.

Dalam kunjungan tersebut,  yang turut melibatkan sesi taklimat, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menzahirkan kekagumannya terhadap penggunaan teknologi digital untuk menguruskan hutan industri di negara tersebut.

Penggunaan teknologi digital ini membolehkan perkongsian maklumat dilakukan secara meluas di antara pihak berkepentingan dan amat berguna dalam konteks pembangunan industri hutan di Sarawak.

“Ia juga sebagai sebahagian daripada usaha untuk mendigitalkan ekonomi negeri, “ulasnya ketika memberi ucapan penghargaan kepada Leppa di pejabat kementerian itu di sini.

Abang Johari dan rombongan sebelum itu diberi taklimat berkait kementerian, dasar perhutanan Finland, pengurusan hutan lestari, pengurusan hutan akasia yang mampan dan penggunaan teknologi digital untuk pengurusan hutan.

Penggunaan teknologi digital amat signifikan untuk pengurusan hutan bersaiz kecil di Finland namun amat penting dalam  menyokong industri perhutanan di Eropah utara.

Justeru itu, tidak hairanlah Ketua Menteri mahu kepakaran digital Finland menjadi platform untuk jalinan kerjasama di antara Finland dan Sarawak,  yang kemudiannya diperluas kepada kajian tanah gambut.

Untuk rekod,  Finland dan Sarawak mempunyai persaman dari segi pemilikan tanah gambut yang luas.

“Kita mahu kemudahan dan teknologi ini disediakan kepada kami dalam bahasa Inggeris,  agar  kepakaran ini dapat dikongsikan bersama, ” jelasnya lagi.

Beliau menegaskan, sebarang kerjasama di antara Finland dan Sarawak harus dilakukan secara langsung dengan Kerajaan Negeri Sarawak memandangkan hutan dan tanah adalah di bawah kuasa Kerajaan Negeri.

“Kerjasama sedemikian penting bagi Sarawak untuk akhirnya mencapai pematuhan terhadap piawaian global berhubung kelestarian alam sekitar, khususnya dalam industri minyak sawit.

Delegasi Sarawak yang turut disertai Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Ghani kemudian dibawa ke Stesen Hutan Hyytiala, yang berjarak tiga jam ke utara ibu negara Finland.

Rombongan yang lain pula dihantar untuk mendapatkan pemahaman tentang “sauna startup” iaitu pusat pertemuan tidak formal yang menyerupai hub inovasi digital Sarawak di Kuching dan Sarikei.

* Ambrose Cheng merupakan Setiausaha Akhbar Ketua Menteri Sarawak

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru