Hentikan perbuatan menghina orang Melayu dan agama Islam kerana keputusan pihak berkuasa tempatan mengharamkan  pesta arak!

Isu larangan menyambut Festival Beer KL 2017 telah diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk menghina kaum Melayu dan agama Islam, khususnya di negeri yang ditadbir oleh PAS.

Festival Beer KL 2017 yang sepatutnya diadakan pada 6-7 Oktober di Publika Shopping Gallery, Kuala Lumpur ditolak permohonannya oleh pihak DBKL pada minggu lalu.

Ketua Editor The Star, Datuk Wong Chun   Wai dalam kolumnya pada Ahad lalu yang bertajuk “moderation, the way to go” mendakwa DBKL membuat keputusan membatalkan festival itu seminggu selepas AJK PAS Pusat, Dr. Riduan Mohd Nor memberi komen Festival Beer KL 2017 sebagai “pesta maksiat” dan “KL menjadi pusat maksiat di Asia”.

Kerana marah dengan pemimpin PAS, Chun Wai membawa isu masalah moral dalam kalangan masyarakat Melayu di Terengganu dan Kelantan. Beliau menyebut laporan yang mengatakan bandar Kuala Terengganu dan Kota Baru mencatat rekod tertinggi dalam melayari laman pornografi.

Tidak cukup dengan itu, statistik mengenai penghidap HIV dan kematian akibat penyakit AIDS di negeri Kelantan turut dipaparkan.

Selain itu, laporan Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) mengenai penagihan dadah dalam kalangan pelajar sekolah menengah yang melibatkan seramai 280 orang pada tahun 2016 turut dipetik.

Segala yang buruk mengenai komuniti Melayu di Pantai Timur Semenanjung dengan bangganya didedahkan oleh Chong Wai. Isu kerajaan tempatan nampaknya  telah bertukar menjadi isu ‘menghina kaum Melayu’ atau ‘Malay bashing’.

Orang Melayu tidak ada kena-mengena dengan keputusan DBKL membatalkan Festival Beer KL 2017.

Kenapa Chun Wai harus mengheret ‘masalah moral’ penduduk Melayu di Kelantan dan Terengganu dalam isu yang melibatkan DBKL?

Jika beliau marahkan pemimpin PAS sekalipun, kenapa kaitkan dengan masyarakat Melayu? Bukankah itu menggambarkan sikap rasis beliau kepada komuniti Melayu?

Bagaimana jika editor akhbar Melayu pula mengambil sikap mendedahkan masalah sosial kaum Cina atau ‘Cina bashing’ kerana marahkan DAP. Bukankah ini akan menimbulkan ketegangan kaum di negara pelbagai etnik yang kita warisi ini?

Kebetulan pada minggu yang sama, video memaparkan seorang lelaki Melayu berketayap sedang mengedarkan risalah sambil memberi penerangan kepada pengunjung yang kelihatannya dari Afrika, di sebuah restoran yang menjual minuman keras di Kota Damansara turut menjadi viral.

Seperti Chung Wai, komen-komen di media sosial terus mengutuk dan mengeji perbuatan lelaki Melayu yang mendakwa mewakili persatuan penduduk di kawasan itu dengan melabelkan ‘polis moral’, mengganggu hak asasi kaum minoriti, taliban Malaysia dan sebagainya.

Dan ramai juga yang memetik masalah moral yang dialami oleh masyarakat Melayu, khususnya di Pantai Timur Semenanjung. Terdapat seorang blogger ‘Melayu’ tanpa segan silu mengajak penduduk Kelantan ‘menjaga tepi kain mereka terlebih dahulu sebelum menjaga tepi kain orang’ kerana menurut beliau kanak-kanak berusia enam tahun telah menjadi penagih shabu di Kelantan!

Setahu saya, tiada seorang pun orang Melayu beragama Islam di Malaysia yang cuba menghalang orang bukan Islam meminum arak. Itu hak orang bukan Islam. Saya kira perkara ini jelas. Kenapa mereka menjadi mangsa penghinaan dalam isu ini?

Yang membuat keputusan sama ada sesuatu Festival Beer 2017  boleh dianjurkan atau tidak terletak di bawah bidang kuasa kerajaan tempatan, seperti DBKL atau mana-mana majlis perbandaran. DBKL tiada kena-mengena dengan orang Melayu, apatah lagi orang Melayu Kelantan dan Terengganu!

Tentunya badan-badan tersebut mempunyai alasan tertentu kenapa mereka luluskan atau batalkan sesuatu permohonan oleh penganjur. Institusi ini sepatutnya diminta tampil memberi penjelasan.

Masyakarat Melayu tidak sepatutnya diheretkan dalam perdebatan mengenai hal Festival Beer ini. Menghina sesuatu kaum tidak menyelesaikan masalah. Sebaliknya, jika tidak dikawal isu ini akan memburukkan lagi hubungan kaum di negara kita. – Sarawakvoice