Kerajaan cari ramuan selesaikan masalah sosial di ibu kota

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

PUTRAJAYA: Tragedi kebakaran yang meragut 23 nyawa di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah setidak-tidaknya mengejutkan semua pihak tentang masalah sosial di ibu kota Kuala Lumpur susulan tujuh remaja ditangkap polis kerana dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

Justeru, pihak kerajaan cuba mencari jalan penyelesaian untuk menangani masalah sosial yang meruncing.

Remaja yang ditahan itu keciciran dari persekolahan dan sebahagian dipercayai terbabit dadah.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam satu sidang media di sini semalam berkata, kementeriannya akan merencanakan strategi untuk menyelesaikan masalah sosial yang semakin meruncing membabitkan golongan belia, termasuk isu remaja tidak bersekolah dan diabaikan ibu bapa.

Katanya, pihak kementeriannya akan mengadakan program pembaharuan bandar termasuk menyediakan tempat beriadah untuk golongan muda.

“Kadangkala rumah yang diduduki mereka ini bersaiz kecil dengan penghuni yang ramai, menyebabkan mereka berkeliaran tanpa arah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Grassroot Sketefest 2017 di sini, semalam.

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Pihak Berkuasa Tempatan akan mengadakan mesyuarat khas esok bagi membincangkan masalah sosial di ibu kota. – Sarawakvoice

Terbaru