NEW YORK: Sikap gila perang dengan menunjuk-nunjuk ujian peluru berpandu termasuk ujian nuklear Korea Utara semakin menjadi-jadi.

Sementara, Amerika Syarikat (AS) turut terjebak provokasi tersebut dengan menayangkan kekuatan ketenteraan dan pertahanannya di ruang udara antarabangsa berkaitan

Terbaru, Menteri Luar Korea Utara Ri Yong Ho dengan lantangnya mengeluarkan amaran bahawa serangan roket ke atas AS “tidak dapat dielakkan”.

Berucap di Perhimpunan Agung Persatuan Bangsa Bersatu (PBB) pada Sabtu, Ri  menganggap label “orang gila roket” (rocket man) dijuluki terhadap pemimpin Korea Utara Kim Jong-un oleh Presiden AS Donald Trump, sangat menjengkelkan.

“Trump tiada pengetahuan asas dan sentimen yang betul, cuba menghina pemimpin negara kami dengan memanggil beliau ‘orang gila roket’,” tuding Ri yang menganggap kenyataan tersebut kesilapan yang tidak boleh ditarik balik.

Beliau mengancam bahawa kehadiran roket Korea Utara ke AS pasti akan berlaku.

“Trump sendiri berada dalam ‘misi bunuh diri’. Sekiranya ada orang awam di AS terkorban dalam serangan ini, Trump perlu bertanggungjawab,” ujar Ri.

Ri sebaliknya menuduh Trump “orang gila dan mengalami megalomania (hebat)”.

Beliau mengatakan Trump akan “membayar mahal” ucapannya, yang menyebut akan “mahu menghancur” Korea Utara.

Ucapan itu dilakukan hanya beberapa jam selepas pesawat pengebom Lancer Amerika Syarikat, Air Force B-1B dari Guam, terbang di ruang udara antarabangsa di timur perairan Korea Utara.

Pesawat tersebut menayangkan kekuatan pertahanan Pentagon yang bersedia menerima arahan dari Trump, yang turut didampingi pesawat tempur Air Force F-15C Eagle dari Okinawa, Jepun.

Sebelum ini, Trump mengumumkan sekatan baru AS dengan ke atas syarikat dan institusi yang membiayai dan menjalankan perdagangan dengan Korea Utara.

Awal bulan ini, Majlis Keselamatan PBB sebulat suara mengenakan sekatan kesembilan ke atas Pyongyang demi membendung program peluru berpandu nuklear dan balistiknya.

Sementara itu, sebuah getaran dengan kekuatan 3.4 magnitud dikesan dekat lokasi ujian nuklear Punggye-ri di wilayah Hamgyong, Korea Utara pada pagi Sabtu pagi.

AS dan Korea Selatan mengaitkan gempa tersebut dengan ujian nuklear Korea Utara itu, tetapi China membantah. – Sarawakvoice