Tuesday, June 28, 2022

Dua serbuan pusat siber di Miri cekup 16 kaki judi — Dev

Secara Rawak

MIRI: Polis Sarawak terus melancarkan perang terhadap aktiviti perjudian di negeri ini dengan menjadikan dua sarang perjudian siber di sini sebagai sasaran serbuan terbaharu petang Jumaat.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar berkata, meskipun pengusaha pusat perjudian ini cuba mengelirukan pasukan penguat kuasa dengan waktu operasi yang tidak teratur, pasukan polis Miri ternyata lebih pintar.

“Sekitar jam 6.00 petang semalam,  sepasukan anggota siasatan jenayah Miri yang diketuai Inspektor Nasrul Hadi Jahat telah melakukan serbuan di tingkat satu sebuah premis kedai di Jalan Desa Indah, Bandar Baru Permyjaya.

“Ketika serbuan dilakukan, terdapat sekumpulan kaki judi sedang leka bertaruh secara dalam talian menggunakan komputer riba.

Kata Dev, pihaknya kemudian menahan dua lelaki warga asing yang berusia 25 tahun yang menjadi penjaga premis tersebut.

“Turut dijaring,  lapan kaki judi rakyat  tempatan, yang berusia sekitar 20 hingga 50 tahun.

“Siasatan awal kemudian mendapati kedua-dua warga asing itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Kata Dev, 10 unit komputer riba yang digunakan untuk judi siber dan peralatan WiFi turut disita selain wang tunai berjumlah RM618 yang dipercayai hasil daripada aktiviti perjudian.

“Sekitar jam 7.00 malam, satu lagi pasukan siasatan jenayah Miri yang diketuai Asisten Superintendan Unang Giang telah melakukan serbuan di sebuah bilik di sebuah kafe di Jalan Pasar Lutong.

“Dua penjaga premis wanita rakyat tempatan yang berusia 35 dan 41 telah dicekup,  bersama-sama empat penjudi lelaki tempatan, berusia 35 hingga 50 tahun.

Pasukan operasi katanya,  turut merampas 10 komputer riba dan sembilan komputer meja yang digunakan untuk aktiviti judi siber.

“Peranti WiFi dan wang tunai berjumlah RM370 juga dirampas.

Kata Dev,  semua suspek ditahan reman pagi tadi dengan kedua-dua kes disiasat untuk kesalahan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Imigresen.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Bahagian Siasatan Jenayah Miri atas komitmen mereka menghapuskan judi siber di sini

“Kita akan terus memerangi jenayah ini terutama menangani kaki-kaki dan pengusaha judi yang degil ini,  bukan sahaja di Miri,  bahkan seluruh negeri, ” katanya lagi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru