Wednesday, August 17, 2022

Bau bakal nikmati pembangunan seperti Kuching apabila Lebuh Raya Pan Borneo siap — Abang Jo

Secara Rawak

BAU: Dengan kedudukannya yang hampir dengan Kuching, ditambah jarak yang semakin dekat apabila siapnya Lebuh Raya Pan Borneo kelak, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberi jaminan Bau akan muncul sebagai suburban yang penting di negeri ini.

“Apabila jaraknya hanya 20 minit dari pusat bandar, seperti juga Petra Jaya, semua kemudahan penting akan dapat dibangunkan di sini.

“Ini termasuk stesen aliran transit ringan (LRT), selepas kita membangunkan laluan utama ke Damai dan Sematan,” katanya sewaktu merasmikan upacara pecah tanah Kompleks Pejabat Daerah Bau di sini, semalam.

Pada majlis yang sama beliau merasmikan sambutan ulang tahun ke-60 Majlis Daerah Bau dan Pesta Tasik Biru.

Abang Johari berkata, Bau kini merupakan sebuah pekan yang jauh membangun, berbanding dahulu.

“Dan ia akan membangun lebih pesat selepas ini, apabila kita memperkenalkan ekonomi digital.

Jelasnya, sumber ekonomi Bau kini bukan sekadar perlombongan emasnya, sebaliknya Kerajaan Negeri sedang merancang menjadikan pertanian dan pelancongan sebagai sumber ekonomi tambahannya.

“Ini kerana pekan ini mempunyai daya tarikan seperti Gua Angin, Gua Fairy, Tasik Biru, Pasar Serikin dan Pekan Siniawan.

“Tempat-tempat ini selalu menjadi daya tarikan pelancong asing yang datang berkunjung ke Sarawak kerana ia dekat dengan Kuching,” tambahnya lagi.

Pada majlis yang sama, Abang Johari turut mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri merancang untuk membangunkan skim perumahan di pekan ini, berikutan populasinya yang semakin meningkat di  kawasan Jambusan, pekan Siniawan dan pekan Tondong.

“Perancangan ini penting kerana estet perumahan di daerah Bau kini telah mencecah 9,758 unit dengan penduduk dianggarkan seramai 60 ribu orang.

Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk membangunkan Kompleks Pejabat Daerah Bau selain tambahan RM2.5 juta untuk penyediaan jalan dan landskapnya.

Abang Johari turut bersetuju dengan permohonan penduduk agar kawasan Gunung Singai dijadikan “communal reserved” dan mahu Jabatan Tanah dan Survei untuk melakukan semakan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru