Tuesday, June 28, 2022

Pemimpin PKR dihalang masuk Sarawak, diarah balik ke Semenanjung

Secara Rawak

MIRI: Kurang lima jam selepas Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan bahawa pihaknya masih melaksanakan perintah larangan mendarat terhadap golongan pelampau, Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah dinafikan untuk memasuki negeri ini.

Beliau ditahan di Lapangan Terbang Miri sekitar jam 2 petang tadi setibanya dari Kuala Lumpur, menggunakan pesawat Air Asia.

Beliau dimaklumkan tentang arahan tersebut oleh pegawai Jabatan Imigresen Malaysia yang bertugas dan dikehendaki kembali semula ke Semenanjung menggunakan pesawat yang terkemudian.

Zuraida Kamaruddin yang juga Ahli Parlimen Ampang sebelum ini pernah mengalami pengalaman yang sama iaitu dari tahun 2013 hingga 2016 ketika Sarawak di bawah pentadbiran Tan Sri Adenan Satem.

Beliau dijadualkan hadir pada majlis makan malam anjuran parti tersebut di Eastwood Valley.

Sarawak mempunyai kuasa autonomi dari segi imigresen untuk melarang masuk mana-mana individu yang dikhuatiri mendatangkan ancaman dari sudut keselamatan dan ketenteraman negerinya.

Senarai mereka yang dilarang masuk ini dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri untuk dilaksanakan di pintu-pintu masuk negeri. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru