Saturday, October 8, 2022

MP Pas: Isunya sekarang pusat tahfiz dibakar remaja

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Isu sekarang bukannya pusat tahfiz terbakar tetapi tahfiz dibakar oleh segelintir remaja yang gagal terdidik oleh persekitaran masyarakat yang soleh.

Justeru, menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri fokus masyarakat dan pemerintah sekarang sepatutnya untuk memperkasakan sistem keselamatan pusat tahfiz, selain memperkasakan sistem pendidikan masyarakat bagi mengelakkan lahirnya anggota masyarakat yang mengancam keselamatan masyarakat.

Tempoh reman tujuh remaja disyaki terlibat dalam kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, di sini disambung tujuh hari lagi bermula hari ini sehingga 29 Sept.

Tempoh reman suspek berkenaan yang ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api, berakhir semalam.

“Pusat tahfiz menyumbang pada melahirkan manusia yang tidak mengancam keselamatan masyarakat malah memberi nilai tambah dan aset bagi negara melahirkan insan yang soleh,” kata Dr Mohd Khairuddin dalam satu kenyataan.

Katanya, selepas sembilan hari berlalu tragedi ini pemerintah dan masyarakat belum benar-benar berbicara tentang memperkasakan sistem pendidikan masyarakat ini, sebaliknya semua masih menjurus pada isu keselamatan pusat tahfiz.

“Sistem pendidikan masyarakat tidak hanya merujuk kepada pusat pendidikan rasmi tetapi merangkumi semua entiti masyarakat termasuk institusi kekeluargaan dan kejiranan serta institusi media sebagai ejen pendidik,” ujarnya.

Beliau berharap agar warga media membantu agar perkara ini dibuat liputan meluas dan menjadi bahan bicara semua pihak. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru