Mengapa seluruh negara heboh gara-gara sidang akhbar Najib Ahad lalu?

0
5

Ahad lalu, seluruh negara heboh gara-gara tersebarnya mesej melalui Whatsapp.

Begitu mudahnya rakyat terpengaruh dengan berita, termasuk berita palsu.

Apatah lagi berkaitan dengan politik dan pemimpin politik.

Hari ini, apa-apa berkaitan dengan pilihan raya umum  (PRU) dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mudah memancing minat orang ramai.

Presiden Umno dijadualkan mengadakan sidang akhbar khas di PWTC.

Banyak pihak yang terus melompat: Ini mesti berkaitan dengan pengumuman PRU-14.

Memang kita tidak salahkan pihak yang membuat ramalan berkenaan walaupun agak liar dan tersasar.

Ya, banyak pihak memang meramalkan bahawa PRU akan diadakan selepas Sukan SEA, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Justifikasi, bagi menangkap sentimen positif dan faktor “feel good” susulan acara dan hari penting berkenaan, ketika rakyat pelbagai kaum bersatu.

Hakikat yang mereka lupa ialah apakah gambaran yang diberi jika pengumuman itu dibuat di bangunan milik UMNO?

Lazimnya, pengumuman sedemikian dilakukan oleh Perdana Menteri di Putrajaya, bukannya di PWTC.

Berdasarkan rekod yang kita semua boleh rujuk di internet, untuk dua PRU lalu — PRU12- dan PRU-13, Najib mengumumkannya di Putrajaya.

Satu lagi, mengapa begitu tergesa-gesa dengan mengadakannya pada hari Ahad.

Ya, sebenarnya pada petang Ahad sekitar jam 4.45 petang ketika rakyat sepatutnya santai, dan tidak fikirkan soal politik.

Menjelang tengah hari, saya turut menerima mesej dalam Whatsapp daripada seorang  pemerhati politik di Kuala Lumpur.

Katanya, Najib akan mengumumkan tentang dua bekas pemimpin UMNO yang kini bersama-sama pembangkang untuk kembali ke pangkuan UMNO.

Nama yang berlegar ketika itu ialah pemimpin Parti Warisan Sabah Datuk Seri Shafie Apdal, selain bekas Menteri Besar dan Naib Presiden UMNO, Mat Taib yang juga digelar Mike Tyson.

Kesudahannya, hanya Mike Tyson yang muncul.

Ini jelas mengecewakan rakyat yang memantau dan mengikuti dengan dekat perkembangan di Kuala Lumpur.

Kalaulah Shafie, kata mereka, ada juga alasan kukuh sidang akhbar itu diadakan, bukannya Mat Taib yang sudah  melompat parti sebanyak tiga kali dalam tempoh lima tahun.

Beliau menyertai Pas pada 2013 sebelum melompat ke PKR, dan pada Ahad lalu untuk kembali ke pangkuan UMNO.

Sehari kemudian, timbul pula kisah lain yang berlegar dalam kalangan mereka yang minat politik.

Sepatutnya Mat Taib bawa bersama-samanya lapan orang Ahli Dewan Undangan Negeri PKR. Itulah sebabnya Perdana Menteri panggil sidang media.

Ini sama sekali tidak logik.

Adakah Perdana Menteri mahu dilihat beliau terbabit secara langsung dalam langkah berkenaan, untuk menumbangkan kerajaan Selangor?

Dari segi angka juga, tidak mungkin Mat Taib mampu memujuk beberapa orang kuat Menteri Besar untuk menyertai komplot atau konspirasi berkenaan, termasuk setiausaha politiknya, Mat Suhaimi Shafiei dan Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad.

Akhir sekali adakah ini masa sesuai untuk menumbangkan kerajaan Selangor ketika kita sedang menghitung minggu atau bulan sebelum PRU-14 diadakan?

Tidakkah boleh Umno dan BN menunggu dan bersabar, biarkan rakyat dan pengundi buat ketentuan dalam PRU nanti?

Tentu semuanya itu tidak logik, dan tidak lebih sekadar berita angin dan berita palsu.

Moral ceritanya, kita tidak harus menelan bulat-bulat berita sedemikian jika tersebar dalam media sosial dan Whatsapp.

Kita perlu gunakan kebijaksanaan dan kewarasan. – Sarawakvoice