BAU: Naik taraf Tasik Biru sebagai kawasan Taman Perlombongan Emas antara produk pelancongan untuk tarikan pelancong ke Daerah Bau.

ADUN Tasik Biru, Dato Henry Harry ak Jinep berkata, perancangan dan perbincangan telah dibuat untuk merealisasikan naik taraf Tasik Biru tercapai.

Menurutnya, pihaknya berusaha untuk menarik pelabur bagi bersama-sama memajukan kawasan Tasik Biru.

“Kami masih menunggu keputusan daripada kerajaan negeri terutama cadangan naik taraf Tasik Biru sebagai produk pelancongan,” katanya selepas Program Zumba Cergas bersama rakyat di Pentas Utama, Tasik Biru Bau semalam.

ADUN Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep (kanan) dan ADUN Serembu, Miro ak Simuh menyertai Zumba Cergas di Pentas Utama Tasik Biru Bau 2017.

Turut hadir ADUN Serembu Miro ak Simuh dan Pegawai Daerah Bau Anielia ak Siam.

Henry berkata, Taman Perlombongan Emas merupakan kawasan reaksi dan riadah untuk masyarakat setempat dan pelancong luar negara.

Sementara itu, ADUN Serembu Miro ak Simuh berkata, projek naik taraf Tasik Biru untuk dijadikan Taman Perlombongan Emas sebagai nafas baharu tarikan pelancong luar negara ke daerah Bau.

Katanya, kertas kerja cadangan pembinaan Taman Perlombongan Emas telah dihantar pada Mei lalu.

“Kini kita menunggu keputusan daripada kerajaan negeri. Kita menaruh harapan sokongan penuh daripada kerajaan negeri bersama-sama membangun kawasan Tasik Biru.

“Taman Perlombongan Emas menyediakan pelbagai kemudahan untuk rakyat termasuk galeri muzium dan sebagainya,” katanya. – Sarawakvoice