KUCHING: Muzium tertua di rantau ini,  Muzium Sarawak akan ditutup untuk orang ramai bermula 23 Oktober depan.

Penutupan muzium ini kata Ketua Menteri,  Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,  bertujuan untuk menaik taraf bangunan yang kini telah menjangkau usia 146 tahun.

“Kerja-kerja kejuruteraan, mekanikal, penggantian struktur serta pendawaian semula perlu dilakukan,  selain proses konservasi …. justeru kita mengambil keputusan untuk menutupnya, ” katanya dalam sidang media khas di pejabatnya semalam.

Turut hadir Menteri Muda Pelancongan,  Datuk Lee Kim Shin dan Pengarah Jabatan Muzium Sarawak,  Ipoi Datan.

Kata Abang Johari,  penutupan muzium etnologi ini akan mengambil masa dua setengah tahun dan dijangka dibuka semula pada Jun 2020.

“Akan berlaku kerja-kerja pengalihan spesimen dan artifak, dan ia mewujudkan keadaan yang tidak selesa,  tanpa sistem pengudaraan yang sempurna.

“Justeru kehadiran pengunjung boleh menjejaskan kualiti bahan pamer.

Abang Johari memberi jaminan,  proses naik taraf bernilai RM38 juta itu tidak akan menjejaskan reka bentuk asal bangunan tersebut.

Bangunan muzium ini dibina pada tahun 1891 oleh Sir Charles Brooke atas permintaan naturalis Sir Alfred Russel Wallace.  Ia digunakan untuk menyimpan spesimen-spesimen alam semulajadi yang dikutipnya.

Dalam sidang media yang sama,  Abang Jo turut menyentuh tentang kajian sejarah yang membuktikan pembantu Wallace yang disebut dalam jurnalnya,  Ali berkemungkinan besar bukan penduduk Ternate tetapi berasal dari Kampung Jaie di Simunjan.

“Kajian empirikal sedang dilakukan untuk membuktikan keabsahan tokoh penting berkemahiran tinggi ini,  dan jika tepat,  kita akan mempamerkan maklumat mengenainya.

Peminat sejarah kini masih mempunyai pilihan lain tanpa melawat muzium yang ditutup ini,  kerana beberapa muzium lain masih dibuka kepada umum seperti bangunan rama-rama, Muzium Islam,  Muzium Cina,  Muzium Tekstil dan Galeri Brooke. – Sarawakvoice