KUCHING: Apabila memasuki pasaran China, produk Sarawak, durian musang king ditukar nama menjadi “Sarawak King Durian”, manakala ikan empurau akan mendapat nama baru “Ikan Emperor”.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mencadangkan perubahan ke atas dua produk tersebut dengan jenama tersendiri yang dapat menunjukkan ia berasal dari negeri Sarawak kepada pembeli di China.

Abang Johari menghadiri majlis meraikan Ulang Tahun Ke-68 Penubuhan People’s Republic Of China pada Rabu yang turut dihadiri Konsulat Jeneral China di Kuching Fu Jijun dan tetamu tempatan dari kalangan kenamaan lain.

Menurut beliau, rasional bagi penukaran nama “empurau” kepada “emperor” kerana didapati sesetengah rakyat China sukar menyebut nama ikan empurau sehingga tersasul menyebutnya menjadi “emperor”.

Menurut beliau perkataan “emperor” lebih dekat dengan rakyat negara itu kerana mereka pernah mempunyai emperor atau maharaja.

Selain durian dan ikan empurau, Sarawak bercadang meningkatkan eksport makanan segera dan bunga eksotik ke China.

China ketika ini melabur RM5 bilion di Sarawak.

Manakala, eksport barangan Sarawak ke China bernilai RM6 bilion setahun meliputi gas asli cecair, minyak kelapa sawit dan produk berasaskan kayu.

Abang Johari turut mendedahkan, bagi memudahkan urus niaga di kalangan peniaga dengan peniaga China, Thailand dan Indonesia, kerajaan mewujudkan sistem bayaran wang elektronik Sarawak Pay yang dihubungkan dengan sisten Alipay serantau.

Melalui rangkaian sistem Alipay, pengusaha China mudah membuat transaksi bayaran kepada pengusaha tempatan melalui telefon pintar sahaja. – Sarawakvoice