Friday, December 2, 2022

Jalan raya Kampung Buda Spaoh perlukan ‘penghijrahan’ -penduduk

Secara Rawak

BETONG: Ketibaan tahun baharu Hijrah 1439 dengan tema ‘kesatuan ummah kesejahteraan negara’ yang jatuhnya pada hari ini diharapkan oleh penduduk di Kampung Buda Spaoh dekat sini akan membawa ‘penghijrahan’ bermakna terutama untuk  kemudahan  jalan raya di kampung tersebut yang rosak dan menyukarkan penduduk kini.

Seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan  menghubungi Sarawak Voice menyatakan penduduk di situ kini berdepan dengan masalah jalan raya yang rosak teruk dan sukar dilalui.

Menurut penduduk tersebut jalan raya berkenaan adalah satu-satunya jalan darat yang menghubungkan kampung terpencil itu dengan kawasan luar.

“Inikah satu-satunya jalan darat untuk kami penduduk di sini. Jalan raya inilah yang menjadi nadi penghubung penting untuk kami membawa hasil pertanian.

“Seandainya hujan maka jalan raya kami akan rosak dan berlumpur. Apabila berlaku kes kecemasan dan sakit tenat kami penduduk sering berserah kepada takdir. Kalau nasib baik sempat sampai di hospital,” ujarnya dengan nada sedih.

Sehubungan dengan itu mereka berharap agar kemudahan jalan raya di kampung berkenaan diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berwajib.

Mereka berharap jalan raya berkenaan akan dinaik taraf segera sebagaimana jalan raya di kawasan kampung lain yang kini telah jauh lebih baik berbanding tempat mereka.

Kampung Buda yang majoritinya terdiri daripada kaum Melayu kini mempunyai lebih 100 buah rumah. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru