Saturday, June 25, 2022

Contohi Pusat Rawatan Pakar Normah, Abang Jo tagih khidmat berimpak dari setiap petugas kesihatan

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mahu petugas kesihatan di negeri ini memberikan perkhidmatan terbaik, yang memberi impak kepada setiap pesakit yang ditangani.

Menurutnya, jika perkhidmatan dan layanan yang diberikan oleh petugas kesihatan seperti hospital tidak memuaskan dan tidak mesra, ia akan  menyebabkan hospital tersebut jarang dikunjungi oleh pesakit tempatan mahupun luar.

“Amat penting bagi kakitangan sesebuah hospital menampilkan kemesraan kepada pesakit-pesakit mereka agar pelanggan sentiasa berasa dihargai dan dihormati,” katanya pada majlis penyampaian Anugerah Kualiti Pusat Rawatan Pakar Normah (NMSC) 2017 di sini semalam.

Pada majlis yang sama beliau turut menyampaikan perakuan antarabangsa sebagai Hospital Bertauliah Suruhanjaya Antarabangsa Bersama (JCI) dengan Sijil Meterai Emas kepada pusat ini selain sijil penghargaan kepada 20 kakitangannya.

Katanya, atas faktor pengalaman, NMSC kini boleh dijadikan contoh kepada pusat-pusat rawatan pakar swasta lain seperti Kuching Specialist Hospital (KPJ), Timberland Specialist dan Borneo Medical Centre dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pesakit-pesakitnya.

Sejak penubuhannya pada 1988, pusat ini  telah membuktikan bahawa mereka mampu berdiri setanding hospital-hospital swasta lain di luar negara.

Sementara itu, sejak beberapa tahun kebelakangam ini, terdapat trend menaik dalam kalangan pesakit antarabangsa, terutamanya Indonesia yang menjalani rawatan perubatan di hospital swasta di negeri ini.

“Pesakit hanya akan datang ke sesebuah hospital sekiranya mereka berpuas hati dengan tahap perkhidmatan yang diberikan.

Abang Johari berkata, Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Sarawak kini menaja biasiswa 40 pelajar perubatan setiap tahun dalam usahanya untuk meningkatkan jumlah doktor di negeri ini, dengan sasaran nisbah seorang doktor untuk setiap 400 penduduk.

“Perkhidmatan perubatan juga boleh menyumbang kepada industri pelancongan negeri menerusi sektor pelancongan perubatan.

“Dan rekod menunjukkan jumlah pelancong kategori ini meningkat 17 peratus pada tahun ini biarpun bilangan penerbangan terus ke Sarawak tidak banyak,” tambahnya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru