Tuesday, December 6, 2022

BNM akan sedia garis panduan mata wang kripto akhir tahun

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) merancang mengeluarkan garis panduan mengenai mata wang kripto menjelang akhir tahun ini, kata Gabenor Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Beliau berkata mata wang kripto atau mata wang digital, kini menarik perhatian bank-bank pusat di seluruh dunia.

“Kami berharap menjelang akhir tahun ini, BNM akan dapat menyediakan beberapa garis panduan mengenai mata wang kripto, terutama berkaitan pengubahan wang haram dan pembiayaan pengganas.

“”Kami mahu memastikan ada garis panduan yang jelas bagi mereka yang ingin menyertai dalam sektor ini,” katanya kepada pemberita di luar Simposium Global mengenai Institusi Kewangan Pembangunan di sini semalam.

Gambar fail – Foto Bernama

Mata wang kripto seperti Bitcoin, merupakan aset digital yang disediakan khas sebagai medium pertukaran menggunakan kriptografi bagi memastikan transaksi yang terjamin dan mengawal pewujudan unit mata wang tambahan.

Mata wang kripto digunakan terutama di luar institusi perbankan dan kerajaan sedia ada, dan ditukar melalui Internet.

Walaupun kaedah pertukaran alternatif yang tidak berpusat ini kini masih di peringkat awal pembangunannya, ia mempunyai potensi unik untuk mencabar sistem mata wang dan pembayaran sedia ada.

Setakat Jun 2017, jumlah permodalan pasaran mata wang kripto melebihi US$100 bilion (US$1= RM4.19), dengan mencatatkan jumlah harian lebih melebihi US$6 bilion.

Dalam perkembangan lain, Muhammad berkata pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan inflasi yang terkawal, memberi kelonggaran kepada bank pusat untuk merumuskan dasar bagi kadar faedah.

BNM tidak mengubah kadar dasar semalaman pada 3.0 peratus awal bulan ini, mengekalkan kadar stabil itu sejak Julai 2016.

“Mesyuarat dasar monetari kami akan datang, pada November, dan kami akan melihat data tersebut (pertumbuhan ekonomi dan inflasi) sekali lagi untuk melihat kedudukannyai.

“Kadar faedah yang berada pada tahap yang menggalakkan pertumbuhan sangat penting, dan pada masa yang sama memastikan inflasi kekal dapat diurus,” katanya.

Kadar inflasi mencecah paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun pada 5.1 peratus, pada Mac, yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penganalisis mengenai kemungkinan kadar faedah akan dinaikkan tahun ini, namun tekanan harga kembali merosot.

Muhammad berkata harga minyak dunia merupakan antara faktor utama dalam prospek inflasi, namun bank pusat tidak menjangkakan harga minyak dunia meningkat pada kadar yang akan mempengaruhi unjuran kadar inflasi Malaysia.

Ekonomi Malaysia meningkat lebih tinggi daripada jangkaan sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua, manakala ringgit naik lebih daripada 6.5 peratus berbanding dolar tahun ini selepas mengalami penguncupan sejak dua tahun lepas.

Muhammad berkata yang lebih penting ialah ringgit dapat mencerminkan kedudukan semasa ekonomi Malaysia yang kukuh.

“Sekiranya pertumbuhan ekonomi dan inflasi berada dalam kawalan, kadar pertukaran mata wang wajar mencerminkannya. Ini sangat penting memandangkan kadar tukaran merupakan gambaran kepada asas-asas ini,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru