KUCHING: Kampung Telagus Legai di Serian telah diisytihar sebagai lokasi terbaharu jangkitan wabak Rabies di negeri ini sebentar tadi.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata,  pengisytiharan terbaharu itu dibuat setelah terdapat sampel positif dari lokasi itu yang diperoleh daripada Institut Penyelidikan Veterinar (VRI), Ipoh baru-baru ini.

Sebelum ini,  lokasi terakhir yang berada dalam senarai ialah Taman Allamanda di Matang,  dan pengumuman Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, ini menjadikan secara terkumpul terdapat 25 kawasan jangkitan.

Gambar fail

Daripada jumlah itu, 20 kawasan terdapat di Bahagian Serian,  Sri Aman (1) dan Kuching (4).

Kata Uggah,  sejumlah 228 keputusan kes yang terdiri daripada 209 sampel anjing, 18 sampel kucing dan 1 sampel kelawar telah diperoleh daripada VRI setakat ini,  daripada 233 sampel yang telah dihantar.

Untuk hari ini, sehingga jam 3 petang tadi, sebanyak 86 ekor anjing telah menjalani proses vaksinasi di kampung-kampung di Puncak Borneo, Kuching, menjadikan sebanyak 36,895 haiwan kesayangan iaitu 28,988 ekor anjing, 7,862 ekor kucing dan 45 haiwan lain telah divaksinasi setakat ini.

“Sebanyak 41,927 survelan aktif dan 1,778 survelan pasif untuk mengawal penularan wabak Rabies pula telah dilaksanakan di kawasan berisiko.

Operasi bersepadu Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) bersama Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan pula berjaya  menangkap sebanyak 1,590 ekor anjing dari Bahagian Kuching, Sri Aman, Sarikei, Samarahan, Betong dan Serian.

Sementara itu,  Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak  memaklumkan bahawa sebanyak 35 kes gigitan baharu dilaporkan pada hari ini iaitu 9 kes di Bahagian Serian, 2 kes di Bahagian Sri Aman, 18 kes di Bahagian Kuching dan 6 kes di Bahagian Samarahan.

“Daripada jumlah tersebut, 30 kes melibatkan haiwan peliharaan iaitu anjing (18 kes), kucing (11 kes) dan khinzir (1 kes),  sementara lima kes pula melibatkan haiwan liar atau tidak bertuan, iaitu kucing (4 kes) dan monyet (1 kes).

Jumlah ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan haiwan yang berlaku sejak 1 April lalu  berjumlah 3,568 kes dengan hanya seramai 1,301 orang telah menerima suntikan vaksin anti-Rabies. – Sarawakvoice