KUCHING: Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Tan Kai meminta rakyat Sarawak terus bersatu dan menyokong penuh kerajaan demi memastikan pembangunan serta keharmonian berterusan di negeri ini.

Berucap pada Majlis Jalinan Kasih P196 Stampin, beliau mengingatkan rakyat Sarawak agar tidak cepat melatah dengan propaganda yang dibangkitkan pihak luar yang bertujuan memecah-belahkan rakyat.

Menurut beliau, hanya orang Sarawak tahu keadaan sebenar perpaduan dan persefahaman masyarakatnya.

Justeru, beliau meminta rakyat Sarawak memberi sokongan padu kepada BN negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kelak.

Tan Kai yang hadir mewakili Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian turut meminta rakyat agar tidak mengikut rentak sesetengah pihak dalam pergerakan yang mahu Sarawak keluar dari Malaysia.

Bagi beliau, rakyat Sarawak perlu mengukuhkan hubungan dengan masyarakat Semenanjung dan Sabah, demi masa depan negara dan generasi akan datang. – Sarawakvoice