Menjelang tengah hari Ahad 17 September 2017, telefon bimbit saya dihujani berpuluh-puluh pertanyaan mengenai kemungkinan yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri pada jam 5 petang berkenaan. Sepanjang saya menggunakan telefon bimbit, seingat saya peristiwa begini tidak pernah terjadi.

Saya sendiri secara jujurnya tidak tahu dengan jelas tentang apa sebetulnya yang akan diumumkan PM. Apabila saya bertanya kepada kawan-kawan yang berada dalam saf kepemimpinan UMNO, mereka juga tidak dapat memberikan jawapan yang tepat, sekadar andaian yang diberikan.

Ada yang mengatakan PM akan umumkan pembubaran Parlimen untuk membolehkan PRU-14 diadakan dalam masa terdekat. Ada yang menembak dengan mengatakan PM akan umumkan kerjasama PAS dan BN! Dan macam-macam lagi.

Pada saya, Datuk Seri Najib Tun Razak ini pemimpin luar biasa. Pengumuman yang beliau lakukan sebelum ini sememangnya luar biasa. RM30 juta baru sahaja diumumkan untuk semua sekolah tahfiz seluruh negara.

“PM kita baru balik daripada US, ada berita baik lagikah yang akan diumumkan pada petang ini, monolog saya dengan diri sendiri.”

Tetapi apabila pecah berita sekitar jam 5 petang itu, saya fikir banyak orang yang tidak percaya. Semua telahan orang banyak mengenai apa yang bakal diumumkan pada petang itu meleset.

Rupa-rupa PM hanya mengumumkan kemasukan kembali mantan pemimpin UMNO yang pernah menjadi MB Selangor dan pernah dijatuhkan hukuman bersalah di Australia, iaitu Tan Sri Muhammad Muhammad Taib sebagai ahli UMNO.

Tan Sri Muhammad, 72 tahun, juga dipanggil ‘Mike Tyson’ dan ‘six million dollar man’ adalah antara mantan pemimpin UMNO yang tidak lagi menjadi bahan berita. Lima tahun lalu beliau menyertai PAS, kemudian apabila PAS berkelahi dengan kumpulan 18, beliau melompat menyertai PKR.

“Tidak ada berita besar yang lainkah?”, demikian tanya seorang kawan menerusi Whatapps selepas mendapat tahu tentang berita itu. “Keputusan menyambut kemasukan semula Mike Tyson menyakitkan hati orang-orang UMNO”, tulis satu lagi kawan saya yang juga ahli UMNO dalam Whatapps.

Saya cuba mencari makna apa di sebalik penyertaan semula  Mat Taib ke parti UMNO setelah sekian lama berkelana bersama parti pembangkang.

Satu cerita zaman dahulu kala antara seorang raja dan enam orang penjenayah yang sedang menunggu hukuman mati, mungkin dapat membantu kita.

Kisahnya bermula apabila sang raja membuat keputusan mahu memberi peluang kedua dengan mendengar rayuan daripada enam orang penjenayah yang bakal menjalani hukuman mati pada minggu berikutnya.

Lalu seorang demi seorang penjenayah dibawa ke balai penghadapan menemui sang raja dan para pembesar negeri. Penjenayah pertama dan seterusnya sehingga yang ke lima berusaha bersungguh-sungguh menyakinkan sang raja kenapa mereka sepatutnya diberi pengampunan. Tetapi sang raja berasa tidak yakin.

Apabila tiba giliran si penjenayah yang keenam, alasan yang beliau berikan menarik perhatian sang raja. Kata beliau, “…berilah peluang untuk saya hidup tuanku. Saya ada kepakaran yang orang lain tidak ada tuanku”.  Sang raja bertanya, “apa kemahiran yang kamu ada”? Jawab si penjenayah, “saya boleh mengajar kerbau menyanyi tuanku”!

Foto Cool Wallpapers

Apabila mendengar tawaran itu, maka semua hadirin terbarai ketawa termasuklah sang raja. “Berapa lama masa yang kamu mahu untuk membuat kerbau ketawa?” tanya sang raja. Jawab penjenayah, “berikan patik selama satu tahun tuanku”.

“Baiklah”, kata  sang raja, “beta berikan kamu hidup lagi selama setahun mulai hari ini, tetapi jika kamu gagal mengajar kerbau menyanyi selepas satu tahun, maka kamu akan dihukum pancung,” kata sang raja.

Dengan itu, si penjenayah yang keenam itu pun bebaslah. Semasa dalam perjalanan pulang, si penjenayah yang telah bebas itu dikutuk oleh lima lagi kawannya yang gagal semasa proses rayuan itu. Ada yang mengatakan dia menipu dan mempersendakan beliau dengan pelbagai cara.

Apabila semua kawan beliau sudah letih memperli dan mengutuk beliau, si penjenayah yang telah bebas itu pun berkata, “kamu semua akan dihukum pancung pada minggu hadapan.  Tetapi aku dapat menyambung hidup setahun lagi. Siapa peduli mengajar kerbau sehingga boleh menyanyi?”

Sambungnya lagi, “dalam masa setahun, macam-macam boleh berlaku. Sang raja mungkin sudah meninggal dunia dan barangkali raja yang baharu mungkin lupa aku pernah dijatuhkan hukuman bunuh jika gagal mengajar kerbau menyanyi”!

Saya kira itulah Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, apa pun kata orang, beliau tentunya terasa dihargai dan diberi peluang hidup kali kedua. Dan kepakaran beliau ialah……

Foto Eat Me Daily – Sarawakvoice