SERIAN: Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis semalam mengesahkan seorang lagi mangsa nahas kemalangan jalan raya di Kilometer 80, Jalan Sri Aman-Serian atau berhampiran Kampung Semukoi B di sini.

Mangsa yang menemui ajal sekitar jam 3 pagi ketika menerima rawatan itu ialah pemandu kereta Proton Saga, yang dikenali sebagai Nengy Kancil, 36 tahun.

Nengy merupan ibu kepada kanak-kanak malang, Bea Bianca Clement 12 tahun, yang terlebih dahulu menghembuskan nafas terakhir.

Sebelum itu, Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Deputi Superintendan Bingkok John memberitahu, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 7.40 malam pada Sabtu ketika lori yang dipandu oleh seorang lelaki berusia lelaki Cina sedang bergerak menuju Serian dari arah Sri Aman.

“Ketika tiba di selekoh kejadian, pemandu terbabit mendapati sebuah kereta Proton Saga dari arah bertentangan telah memasuki laluannya.

“Pemandu lori terbabit tidak sempat mengelak dan telah berlaku pertembungan yang menyebabkan kenderaan Proton Saga terbabit dan lori terbabas ke tepi jalan, sebelum jatuh gaung.

Kata Bingkok, akibat kemalangan tersebut, kesemua mangsa di dalam kenderaan Proton Saga mengalami cedera parah, termasuk pemandunya.

Pihak bomba dan penyelamat kemudian mengambil masa hampir satu jam untuk mengeluarkan mangsa, sebelum diserahkan kepada pasukan paramedik.

Semua mangsa yang parah berasal dari Kampung Krangan Jaya, dekat sini dan masih dirawat di Hospital Serian.

Punca kemalangan katanya, masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sarawakvoice