Friday, December 2, 2022

MyPPP percaya rakyat tidak lagi terpengaruh dengan formula politik pembangkang

Secara Rawak

CAMERON HIGHLANDS: Presiden MyPPP Tan Sri M. Kayveas percaya rakyat negara ini tidak lagi terpengaruh dengan formula politik Pakatan Harapan yang dilihatnya semakin rapuh dan tidak relevan.

Beliau berkata walaupun pembangkang sering meraih simpati dengan mencipta pelbagai isu untuk melemahkan kerajaan Barisan Nasional (BN), rakyat sudah bijak menilai parti yang layak memerintah negara.

“Rakyat juga dilihat tidak akan memperjudikan nasib dan menjadi mangsa dengan memilih pembangkang untuk memerintah negara selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14.

“Malah, sejak kebelakangan ini pembangkang sering dilanda perbalahan dalaman termasuk berkaitan rundingan antara pakatan itu,” katanya kepada Bernama sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi MyPPP di sini semalam.

Bagaimanapun katanya BN tidak berminat untuk mengambil kesempatan daripada persengketaan dalaman Pakatan Harapan bagi menghadapi PRU-14.

Beliau berkata itu bukan cara BN untuk bergantung kepada kelemahan pihak lawan apabila berdepan pilihan raya sebaliknya akan bekerja dengan lebih keras bagi memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

“Pada pandangan saya, kelemahan pembangkang tidak perlu dijadikan ukuran untuk mengadakan pilhan raya. Ini kerana apa yang penting kita perlu menyelesaikan beberapa isu yang dihadapi rakyat terutamanya kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Kita boleh lihat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) tidak pernah mengambil kesempatan ke atas kelemahan atau permasalahan yang dihadapi pembangkang tetapi beliau sentiasa bekerja untuk rakyat dan membawa pelbagai pelaburan untuk memperkukuhkan ekonomi negara,” katanya. – Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru