SONG: Satu mayat lelaki dipercayai mangsa lemas ditemukan terapung di Sungai Iran di sini kira-kira 7.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Song DSP Azhar Abu Bakar berkata tidak ada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan pada mayat itu yang memakai seluar pendek kelabu, berbadan gempal, berketinggian 152.4 sentimeter dan dianggar berusia 40-an.

Menurutnya, mangsa yang dipercayai lemas itu telah dijumpai orang awam dan berdasarkan pemeriksaan, tidak ada kecederaan fizikal ditemui dan mayatnya dihantar ke Hospital Kapit.

Gambar hiasan

“Setakat ini, tiada laporan kes orang hilang dilaporkan di Kapit dan Song. Belum dapat dipastikan sama ada mayat itu orang tempatan atau warga asing,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga menghubungi Inspektor Lucas Law di Balai Polis Song di talian 084-777222 untuk memberi maklumat.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak memberitahu, sepasukan anggota bomba dan penyelamat Song serta pasukan bomba sukarela Song telah digerakkan ke lokasi sebaik sahaja menerima laporan penemuan mayat itu.