Saturday, October 8, 2022

Mat Taib: Perjuangan saya dalam pakatan pembangkang hanya sia-sia

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Mohd Taib menjelaskan tindakan beliau kembali ke pangkuan Umno selepas berkelana dalam Pas dan PKR  dibuat selepas menyedari perjuangannya dalam pakatan pembangkang hanya sia-sia.

Katanya, perjuangan pembangkang yang tidak mengutamakan agenda Melayu turut menyebabkan beliau mengambil tindakan berkenaan.

“Saya lihat ini merupakan perkembangan yang tidak berapa sihat, apabila melihat orang Melayu berpecah-belah, ada satu kaum lain yang akan menentukan parti mana yang akan menang,” katanya kepada media selepas sidang media khas Pengerusi UMNO, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kemasukan semula beliau ke dalam UMNO.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Taib pernah menyertai Pas pada 22 April 2013, sebelum menyertai PKR pada 11 September 2015.

Namun, ujarnya, dalam Barisan Nasional (BN), kaum yang menentukan kemenangan ialah mereka yang memenangi majoriti paling besar.

“Saya pernah menghadiri perbincangan dalam mesyuarat pimpinan tertinggi dalam pakatan, tidak pernah bincang agenda Melayu langsung, kerana dalam mesyuarat itu terdiri dari semua kaum, maka jika agenda Melayu pun tidak dibincangkan, apatah lagi berkaitan isu agama Islam,” ujarnya..

Tambahnya, apa yang berlaku ini merupakan sesuatu yang tidak sihat, lambat-laun apabila orang Melayu hilang kuasa di negara ini, sudah tentulah satu masa nanti akan wujud pergeseran yang kuat, apatah lagi kuasa ekonomi di pegang oleh orang lain, maka kuasa politik juga akan dipegang oleh orang lain.

“Saya percaya bahawa UMNO merupakan parti yang kukuh, yang menjaga kepentingan orang Melayu serta menjaga kepentingan kaum-kaum lain di negara kita.

“Di bawah kepimpinan UMNO dan BN, semua kaum akan mendapat faedah daripada kepemimpinan ini, jadi saya fikir tidak perlulah saya berada di sana (pembangkang) lagi.

“Saya bukan rasis, tapi kita nak dalam negara ini kuasa politik terletak di tangan orang Melayu kerana kalau kuasa politik terlepas dari tangan orang Melayu, saya percaya akan wujud pergeseran yang besar dalam negara kita,” tambahnya yang juga bekas Naib Presiden UMNO. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru