Wednesday, June 29, 2022

Malaysia terus amalkan dasar luar yang bebas, berprinsip, pragmatik

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, dasar luar Malaysia adalah jelas dan konsisten.

“Malaysia terus mengamalkan dasar luar yang bebas, berprinsip lagi pragmatik,” kata beliau.

“Pelaksanaan dasar luar Malaysia akan terus berpandukan kepada prinsip-prinsip menghormati kemerdekaan, kedaulatan, keutuhan wilayah dan tidak campur tangan dalam hal ehwal negara lain, penyelesaian pertikaian secara aman, kewujudan bersama dan manfaat bersama dalam hubungan,” kata beliau dalam satu kenyataan, semalam.

Anifah menyangkal beberapa dakwaan yang dibuat oleh anggota Majlis Tertinggi dan Ketua Biro Dasar dan Strategi Bersatu, Dr Rais Hussin, dalam satu artikel bertajuk “All The Glitters is Not Gold in US-Malaysia Relationship’, yang diterbitkan oleh sebuah portal berita Jumaat lepas.

Hujah pertama Anifah ialah bagi menjawab dakwaan Rais bahawa Malaysia kini berada dalam lingkungan pengaruh China daripada segi komersial dan ketenteraan dan pada sebarang minggu, banyak kapal-kapal nelayan China berlegar di sepanjang perairan Semenanjung sertra Sabah dan Sarawak.

Anifah berkata, sebagai sebuah negara kecil yang banyak bergantung kepada perdagangan antarabangsa dan ketika ancaman terhadap keamanan dan keselamatan semakin kompleks, Malaysia perlu menjalin hubungan dan bekerjasama dengan semua negara di dunia.

Beliau juga berkata, peningkatan aktiviti ekonomi dan pelaburan antara Malaysia dan China adalah hasil daripada globalisasi dan undang-undang bekalan dan permintaan.

“Begitu juga, peningkatan aktiviti dalam bidang keselamatan akan melibatkan kerjasama ketenteraan yang lebih erat dan bukan menandakan bahawa Malaysia telah memasuki lingkungan pengaruh China,” kata beliau dan menambah Malaysia menjalin hubungan yang sama dengan kebanyakan negara lain termasuk Amerika Syarikat, Britain, Rusia, Perancis, Australia dan Singapura.

Beliau juga menegaskan bahawa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan rondaan dan pemantauan rutin kawasan-kawasan maritim, dan akan menahan mana-mana bot nelayan yang menangkap ikan secara haram.

Selain  itu, beliau menyatakan bahawa bot nelayan China telah dikesan hanya sekali-sekala dan tidak secara mingguan.

Hujah kedua Anifah ialah berkaitan dakwaan Rais bahawa Anifah telah membenarkan dua buah kapal selam China berlabuh di Kota Kinabalu dan dalam perkembangan paling baharu, kapal selam tersebut berlabuh sejurus sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertemu President Donald Trump di White House.

Rais juga membuat andaian bahawa “’Malaysia kini seakan-akan sekutu China” yang sanggup mengikut telunjuk Beijing dalam setiap perkara dan mempersoalkan tentang bagaimana hubungan AS-Malaysia boleh berfungsi sebagai landasan untuk membina orde maritim antarabangsa yang lebih kukuh?’

Anifah berkata memang benar kapal perang dan kapal selam China singgah di Kota Kinabalu awal bulan ini dan ini bukan kali pertama kapal-kapal tentera laut China membuat persinggahan di Kota Kinabalu dan bukan yang terakhir.

Beliau juga berkata kapal-kapal perang dari negara lain termasuk Amerika Syarikat, Australia, Jepun, Perancis juga singgah di pelabuhan-pelabuhan di Malaysia termasuk Kota Kinabalu dan akan terus berbuat demikian.

Oleh itu, kata beliau, adalah jelas ia merupakan satu tanggapan yang salah untuk menyatakan bahawa insiden kapal tersebut berlabuh di pelabuhan negara baru-baru ini sebagai menandakan Malaysia seakan sekutu China.

“Kapal-kapal tentera singgah di pelabuhan negara asing untuk mengisi bekalan, memberi cuti rehat kepada anak-anak kapal dan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan kecil yang juga menyumbang kepada ekonomi tempatan,” kata beliau.

Ketika mengulas pandangan Rais bahawa “Malaysia tidak melaksanakan apa-apa yang penting walaupun sebagai Pengerusi semasa Sidang Kemuncak Asean dan Sidang Kemuncak Asia Timur 2015” dan tidak dapat menangani situasi di Laut China Selatan dan Korea Utara” sedangkan 2015 ialah tahun apabila pengaruh ketenteraan China di Laut China Selatan bermula dengan serius”.

Anifah menjawab bahawa Kepengerusian Asean oleh Malaysia pada 2015 disambut baik oleh kebanyakan negara dan bahawa pendekatannya yang membina terhadap isu-isu tersebut juga diterima dengan baik.

Beliau berkata, usaha Malaysia juga dikagumi apabila membangkitkan isu-isu itu pada perbincangan dengan mengambil kira Asean berpandukan kepada prinsip kesepakatan, dan sebagai Pengerusi, Malaysia bertindak hanya sebagai fasilitator.

“Sepanjang menjadi Pengerusi Asean, kita telah menekankan kepada semua negara tentang perlunya untuk memastikan keamanan , keselamatan , kestabilan dan mengelakkan ancaman atau menggunakan kekerasan serta mengelakkan aktiviti yang boleh meningkatkan atau menyulitan keadaan,” kata beliau. – Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru