Monday, December 5, 2022

Kisah di sebalik kemunculan Mike Tyson di sidang media Perdana Menteri semalam

Secara Rawak

Apabila tersebar berita bahawa Perdana Menteri akan memanggil sidang akhbar penting petang Ahad di Pusat Dagangan Dunia Putra, seluruh negara gegar.

Pelbagai spekulasi muncul termasuk yang di luar imaginasi.

Pelbagai ramalan timbul, termasuk beberapa nama penting yang sebelum ini keluar Umno, akan kembali ke pangkuan parti utama Barisan Nasional (BN).

Tidak kurang juga yang kata Perdana Menteri akan menjelaskan hasil lawatannnya ke UK dan AS, termasuk menangkis segala macam tuduhan pembangkang.

Yang lebih menarik ialah spekulasi bagaimana bekas Naib Presiden Umno dan bekas Menteri Besar Selangor yang berusia 72 tahun yang tinggi lampai itu akan membawa bersama-samanya  12 orang wakil rakyat  Pas Selangor untuk membentuk kerajaan campuran BN-Pas.

Adakah tafsiran berkenaan seperti yang beredar hari ini masuk akal?

Kalaupun betul itu berlaku, adakah Perdana Menteri mahu memberitahu seluruh dunia  melalui sidang media bahawa beliau di sebalik konspirasi dan perancangan berkenaan?

Bukankah itu mesej yang akan dibaca oleh orang ramai kalau betul sidang media itu menjadi seperti yang diperkatakan itu.

Bagi saya, itu hanya tafsiran liar.

Dalam politik, kelihatannya, apa-apa sahaja yang dilakukan dan dinyatakan oleh Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja dikritik dan dipuji, tetapi mendapat pelbagai tafsiran.

Hakikatnya, segalanya bermula daripada SMS ringkas daripada setiausaha agung Umno. Datuk Seri Tengku Adnan Mansor memaklumkan melalui SMS berkenaan bahawa pengerusi Umno akan mengadakan sidang media untuk menyatakan sesuatu yang penting pada 4.45 petang, Ahad.

SMS itu mengundang pihak media dan ahli majlis tertinggi Umno ke sidang media itu.

Terdapat dakwaan semua MB dan ketua perhubungan Umno akan berada di sesi berkenaan. Heboh seluruh negara.

Petang Ahad, ya. Bagai ada sesuatu yang memang maha penting dan tak dapat ditunggu-tunggu lagi untuk diumumkan.

Semalam, ramai wartawan dari media elektronik, stesen TV, radio, media arus perdana dan portal berita datang dengan rasa teruja.

Sampai sesak dan tak cukup ruang di lantai terbabit.

Betapa tidak, pasti Perdana Menteri akan mengumumkan perkara yang penting.

Mendengar kenyataan awal Perdana Menteri, para wartawan memang teruja kerana Najib memberitahu beberapa hari lalu, beliau telah berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong.

Ya, tetapi bukan untuk bercakap tentang tarikh penting yang ditunggu-tunggu. Sebaliknya berkaitan dengan tragedi kebakaran di pusat tahfiz.

Najib memaklumkan akhirnya bahawa Mat Taib atau Mat Tyson akan kembali ke pangkuan Umno.

Mat Taib telah menyertai Pas  pada 2013 sebelum melompat lagi ke PKR pada 2015  dalam tempoh singkat.

Alasan yang diberikan kerana parti terbabit tidak perjuangkan agenda Melayu. Maka, dia kecewa.

Tetapi kalau kita dengar balik ucapannya yang mulai tersebar melalui media baharu mulai petang semalam, terutama kritikannya terhadap BN dan Umno, tentu kita akan gelak.

Mat Taib, seorang tokoh yang penuh kontroversi dan terjebak pelbagai skandal, termasuk bagaimana beliau ditangkap di lapangan terbang Australia kerana membawa wang tunai. Juga kerana membawa lari puteri Sultan, untuk dinikahi di  selatan Thailand.

Adakah Umno begitu terdesak?

Terus terang dan sejujurnya, Mat Taib telah hilang wibawa dan kredibiliti. Zamannya sudah berlalu.

Jelas, pihak media mengalami semacam antiklimaks apabila pengumuman itu bukan tentang PRU.

Namun, mereka perlu sedar bahawa PWTC bukan tempat lazim PM mengumumkan tentang PRU.

Pada dua PRU lalu, pengumuman berkenaan dilakukan di Putrajaya.

Jadi, harapan pengamal media untuk mencungkil tarikh PRU14, tidak kesampaian.

Tidak mahu mengibarkan bendera putih, ada wartawan yang cuba mengorek tarikh berkenaan daripada PM.

“Datuk Seri bila tarikh PRU?” soal beberapa wartawan selepas pengumuman itu.

Soalan itu dijawab beliau dengan ringkas.

“Soal pilihan raya kita tangguh dahulu,” katanya.

Jadi, ya, soal pilihan raya akan terus diramal dan menjadi teka-teki untuk beberapa bulan akan datang.

Yang jelas, PRU akan diadakan pada tahun depan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru