DAP anggap gesaan tutup pusat tahfiz keterlaluan, tidak wajar

0
4

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari menyifatkan permintaan segelintir pihak agar pusat tahfiz di negara ini ditutup ekoran tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, sebagai keterlaluan dan tidak wajar.

Zairil ahli politik DAP menganggap kebakaran yang berlaku di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur yang meragut 23 nyawa pelajar dan guru memang memilukan.

Beliau mengakui bahawa sistem persekolahan tradisi Nusantara seperti sekolah pondok, madrasah atau pesantren ini mempunyai sejarah lama dan masyhur mendidik manusia menjadi insan beradab, bertanggungjawab dan berbudi pekerti luhur.

Bagi beliau, kebanyakan tahfiz dan madrasah di Malaysia menanggung tanggungjawab penting demi tuntutan agama dan masyarakat.

Memetik Malaysia Dateline pada Ahad, Zairil berkata, dengan dana terhad tentulah prasarana dan binaan pusat tahfiz mempunyai kelemahan sehingga gagal pemeriksaan bomba.

Namun menurut beliau, menjadi tanggungjawab bersama pihak berkuasa serta pihak pengurusan sekolah tradisi ini memastikan keselamatan pada bangunan ini.

Beliau turut mencadangkan beberapa langkah wajar diambil seperti bina laluan keluar tambahan, pasang alat pengesan asap dan penyediaan alat pemadam api serta pentingnya latihan kebakaran dibuat secara berkala.

Beliau turut mengingatkan pentingnya pemantauan dan penguatkuasaan harus sentiasa berjalan mengelak peningkatan risiko.

Tegas beliau, bahaya fizikal yang dihadapi oleh bangunan seperti ini bukan hanya ancaman kebakaran, malah keteguhan binaan yang terancam runtuh. – Sarawakvoice