Azam anjur Taklimat “Laporan Digital Memudahkan” bagi perkasa kemahiran pengamal media tempatan

KUCHING: Mungkin banyak pihak yang beranggapan laporan digital adalah sesuatu yang mudah dan senang, apatah lagi berteraskan teknologi.

Namun ia bukanlah semudah yang disangka. Ada banyak peraturan dan kaedah perlu dikuasai, selain memahami akan peranan pengguna teknologi itu sendiri.

Seramai 30 peserta yang merupakan pengamal media tempatan dan pegawai perhubungan Kerajaan Negeri telah menghadiri Taklimat “Laporan Digital Memudahkan” yang dianjurkan oleh Angkatan Zaman Mansang (Azam) baru-baru ini.

Program setengah hari itu bertujuan meluaskan pemahaman wartawan tempatan akan konsep teknologi digital dan terminologi yang digunakan untuk laporan digital yang lebih tepat.

Taklimat telah disampaikan oleh wakil Telekom Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysian (SKMM) dan pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UNIMAS.

Majlis telah dirasmikan oleh Menteri Muda Perhubungan Korporat, Abdullah Saidol dan ditutup rasmi Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Dr. Sabariah Putit.

Sabariah dalam ucapannya berharap pihak media dan pengamal komunikasi pembangunan di negeri ini dapat meningkatkan mutu laporan terutama berkaitan perkembangan era digital di negeri ini seperti pembangunan teknologi pertanian digital dan e-dagang.

“Kita juga mengharapkan penghasilan laporan yang tepat dan tulisan-tulisan menarik berkait perkembangan digital dan pembangunan negeri,” katanya lagi. – Sarawakvoice