Friday, August 12, 2022

39 lagi dicekup dalam 27 serbuan judi,   termasuk satu aktiviti judi bentuk baru di Kuching

Secara Rawak

KUCHING: Polis Sarawak menjaring 39 individu menerusi 27 serbuan di seluruh negeri pada 11 hingga 17 September lalu,  melanjutkan perang terhadap aktiviti perjudian.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar berkata, kejayaan itu diperoleh menerusi kegigihan anggotanya di 15 daerah pentadbiran polis di negeri ini.

“Daripada jumlah itu,  23 merupakan serbuan judi 4D haram,  dua serbuan judi siber,  satu serbuan pertaruhan haram dan satu berjudi di tempat awam.

Kata Dev, pasukan siasatan jenayah Padawan berjaya melakukan tujuh serbuan dalam tempoh tersebut manakala tiga serbuan di daerah Kuching,  tidak termasuk satu serbuan yang dikendalikan pasukan ibu pejabat kontijen.

“Pasukan siasatan jenayah Bau pula berhasil melaksanakan tiga serbuan,  Miri (dua) dan masing-masing satu di Bintulu,  Serian,  Kota Samarahan,  Sri Aman,  Sarikei,  Marudi,  Lubok Antu,  Mukah,  Limbang,  Saratok dan Kapit.

Merincikan tangkapan,  Dev berkata,  25 individu dijaring dalam 23 serbuan terhadap aktiviti penjualan 4D haram, yang menyaksikan wang tunai RM4,550 dirampas,  bersama-sama telefon bimbit,  pencetak mudah alih, kalkulator,  slip pertaruhan dan alat tulis.

“Dua serbuan terhadap premis judi siber di Miri dan Padawan pula menghasilkan tiga tangkapan,  selain rampasan 10 unit komputer dan tablet yang digunakan untuk berjudi.

“Turut dirampas, wang tunai bernilai RM875,” tambahnya.

Sekitar jam 5.15 petang, 16 September lalu katanya, sepasukan anggota siasatan jenayah ibu pejabat kontijen yang diketuai Asisten Superintendan Lim Jaw Shyong telah menyerbu satu premis di Jalan Satok yang menjalankan aktiviti judi siber dan pusat transaksi 4D haram atas talian.

“Ia merupakan yang pertama seumpamanya di negeri ini,  dengan suspek mengutip secara langsung untuk judi 4D haram atas talian,  dan membayar untuk isian semula judi siber serta bayaran habuan kemenangan.

“Sebanyak tujuh pekerja yang berusia di antara 17 hingga 30 tahun telah ditahan,  termasuk penyelia premis yang berusia 20 tahun.

Sebanyak lapan unit komputer dan 18 telefon bimbit yang digunakan untuk transaksi atas talian turut disita.

Kes katanya,  disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pertaruhan 1953.

Polis katanya, turut berjaya memperoleh tahanan reman selama dua hari terhadap enam daripada suspek bermula 17 September lalu manakala seorang lagi pekerja premis, yang juga warganegara asing direman 14 hari di bawah Akta Imigresen kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Dalam serbuan lain katanya lagi,  empat individu ditahan ketika sedang leka berjudi holo di sebuah kantin syarikat perladangan di Marudi.

“Secara keseluruhan, pada minggu lalu, 39 tangkapan itu turut melibatkan seramai 12 wanita,  dengan kesemua suspek berusia 16 hingga 52 tahun,  termasuk lima warga asing.

Kesemua mereka ditangkap dan disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pertaruhan 1953. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru