Monday, December 5, 2022

K’jaan persekutuan sentiasa pastikan hak Sabah, Sarawak dibincang secara telus

Secara Rawak

TUARAN: Kerajaan Persekutuan akan sentiasa memastikan setiap keputusan yang melibatkan kepentingan serta hak Sabah dan Sarawak dibincang serta diperhalusi secara telus termasuk mendengar pandangan daripada menteri Kabinet dari kedua-dua negeri berkenaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berkata ini bagi memastikan setiap keputusan yang diambil itu benar-benar memberi impak dan manfaat positif selain memenuhi keperluan rakyat di kedua-dua negeri.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga begitu prihatin dengan memastikan suara dan pendapat kesemua 12 menteri persekutuan, masing-masing enam dari Sabah dan enam dari Sarawak, didengar serta diberi perhatian.

“Saya juga boleh menyatakan di sini bahawa ada beberapa kertas dan keputusan Kabinet (melibatkan hak serta kepentingan Sabah dan Sarawak) yang kami bantah dan akhirnya Perdana Menteri menarik balik atau menangguhkan keputusan tersebut… tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Jika ada perkara melibatkan hak serta kepentingan rakyat Sabah, kami (menteri dari Sabah) akan memberi pandangan tanpa ada rasa risau atau takut kerana kami tahu Perdana Menteri mendengar segala pandangan rakyat Sabah yang diwakili oleh kami.

“Saya jamin, tidak akan ada keputusan kerajaan (Persekutuan) melibatkan hak serta kepentingan rakyat Sabah, yang tidak dibahas secara telus,” katanya yang ditemui selepas melancarkan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Jambatan Sungai Damit-Pekan Tuaran, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Abdul Rahman turut mengingatkan rakyat Sabah mahupun Sarawak supaya tidak menganggap kerajaan Persekutuan sebagai kerajaan untuk Semenanjung semata-mata, sebaliknya ia adalah kerajaan Malaysia dengan Sabah dan Sarawak juga mempunyai suara cukup besar dalam menentukan hala tuju pembangunan negara.

Mengambil contoh pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, Abdul Rahman berkata dengan kekuatan sokongan rakyat di Sabah dan Sarawak kepada Barisan Nasional, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM30 bilion bagi merealisasikan lebuh raya tanpa tol itu.

“Ini adalah hadiah Perdana Menteri kepada kekuatan dan kesatuan suara orang Sabah dan Sarawak dalam kita memperkasa Malaysia,” katanya. – Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru