Saturday, October 8, 2022

Jakim akui kebanyakan pusat tahfiz tepati syarat penubuhan termasuk keselamatan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) Tan Sri Othman Mustapha mengakui kebanyakan pusat tahfiz di negara ini sudah menepati syarat penubuhan termasuk dari segi keselamatan.

Bagaimanapun, memetik laporan Kosmo pada Ahad, beliau turut mengaku tahap keselamatan segelintir pusat tahfiz yang beroperasi perlu diperiksa semula.

Menurut Othman, pengurusan pusat tahfiz terletak di bawah kerajaan negeri, sementara tugas Jakim ialah sebagai sekretariat menggubal Dasar Tahfiz Negara.

Bagi beliau, penggubalan termasuk menyediakan garis panduan kepada pusat tahfiz seperti kurikulum, tenaga pengajar dan prasarana termasuk aspek keselamatan.

Bercakap sebelum melawat pelajar di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur, Othman berkata, garis panduan tersebut ada menyatakan berkaitan pemeriksaan berkala dan latihan kebakaran berkala diadakan.

Timbul isu dan spekulasi berkaitan piawaian keselamatan di pusat tahfiz dan madrasah seluruh negara selepas berlakunya kebakaran tingkat tiga Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di ibu negara.

Tragedi 5.15 subuh itu meragut 21 nyawa pelajar berusia 13-17 tahun dan dua guru berusia 25 dan 26 tahun pusat tahfiz berkenaan.

Dalam perkembangan terbaru, tragedi menyayat hati itu, pada sidang media Sabtu malam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata polis mengenal pasti dan mereman tujuh hari remaja berusia 11-18 tahun bagi membantu siasatan kes.

Polis percaya motif kebakaran pusat tahfiz itu adalah perbuatan dendam dan khianat yang berpunca daripada perbuatan ejek-mengejek antara pelajar tahfiz tersebut dengan pihak luar.

Kes disiasat mengikut Kanun Keseksaan di bawah Seksyen 302 kerana membunuh dan Seksyen 435 iaitu melakukan khianat dengan api.

Menurut Bernama, Amar Singh berkata kesemua suspek mendakwa membakar pusat tahfiz berkenaan dengan niat, tetapi bukan untuk membunuh.

Polis menyiasat sumber petrol dan tong gas memasak yang digunakan bagi tujuan mempercepat kebakaran pusat tahfiz berkenaan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru