Sambutan Hari Malaysia: Polis Sibu guna dron kawal keselamatan

0
4

SIBU: Polis Sibu akan menggunakan dron untuk memantau keselamatan lokasi sambutan Hari Malaysia peringkat negeri yang akan berlangsung di Dataran Bandar Sibu malam ini.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahari Abdullah berkata selain dron polis, lokasi tersebut turut dipantau dron Unit Protokol dan Perhubungan Awam Negeri.

“Sehubungan itu, lain-lain dron tidak dibenarkan berada di Dataran Sibu kecuali mendapat kelulusan daripada kami.

“Dron yang tidak dibenarkan akan dikeluarkan dari zon kawalan polis,” katanya semalam.

Selain itu, Saiful Bahari berkata kawalan keselamatan juga diperkukuh dengan bantuan Unit Udara Polis, Pasukan Gerakan Am Batalion ke-10 Sibu serta anggota tugas am dan trafik dari beberapa daerah lain.

Prasambutan bermula 7 malam dengan konsert menampilkan artis tempatan sementara menunggu ketibaan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Raghad Kurdi Taib pada 8 malam.

Mereka akan disambut oleh 100 murid dan diiringi paluan Gendang 1Malaysia merangkumi hadrah dan tarian singa.

Lagu negeri akan menyusuli ketibaan Taib dan ini diikuti overtur bertajuk “Keindahan Malaysia” yang menampilkan tarian tradisional dan pengibaran semua bendera negeri di Malaysia.

Taib akan melancarkan sambutan selepas ucapan oleh Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yang akan turut hadir ke majlis tersebut.

Pengarah Jabatan Penerangan Sarawak Abang Sardon Abang Hashim yang mengetuai Konvoi Kembara Jalur Gemilang akan menyerahkan Jalur Gemilang kepada Yang Dipertua Negeri yang kemudian akan menyerahkannya kepada pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia untuk dinaikkan dan dikibarkan diiringi lagu Negaraku.

Ini akan disusuli persembahan selama 15 minit bertajuk ‘Malaysia Negaraku’ oleh 300 peserta yang menampilkan deklamasi sajak berselang-seli dengan lagu dan tarian.
Program akan diakhiri dengan pertunjukan bunga api.