Jangan wujudkan pandangan negatif terhadap  institusi agama

0
3

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak  Pas Negeri Sembilan hari ini berharap masyarakat awam tidak mewujudkan pandangan negatif terhadap institusi agama khususnya, sebaliknya sama-sama memberikan bantuan agar institusi agama terus maju dan membangun seiring dengan semangat perlembagaan yang meletakkan islam sebagai agama persekutuan.

Ketuanya Abdul Hadi Mohd Isa berkata, mengambil iktibar daripada tragedi yang lalu, menyeru kepada semua  pusat tahfiz al-Quran, pondok agama, termasuk juga pusat jagaan anak yatim, dan rumah anak yatim khususnya di Negeri Sembilan agar  mengemas kini sistem pengurusan pusat tahfiz/pondok agama/pusat jagaan  anak yatim/rumah anak yatim masing-masing seperti mewujudkan pangkalan data khas untuk pelajar-pelajar/penghuni masing-masing.

“Ini bagi memudahkan urusan pendokumentasian pengurusan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga berharap agar pusat berkenaan mengambil berat terhadap faktor keselamatan dengan mengadakan pemeriksaan ciri-ciri keselamatan secara berkala.

Katanya, mereka juga perlu mendaftarkan pusat tahfiz/pondok agama/pusat jagaan anak yatim/rumah anak yatim masing-masing kepada pihak berautoriti seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya pihak terbabit dapat mengambil berat terhadap premis masing-masing.

Katnya, Dewan Ulamak PAS Negeri Sembilan juga menyokong penuh usaha-usaha ke arah mewujudkan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) dan mengharapkan agar perbincangan dalam merangka dasar ini dapat melibatkan semua pihak yang layak dan berada dalam bidang tahfiz ini khususnya.

Dewan Ulamak Pas Negeri Sembilan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kebakaran Maahad Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

“Semoga Allah kurniakan kesabaran yang tinggi pada keluarga yang terlibat dan mudah-mudahan Allah  tempatkan mereka yang Syahid bersama dengan para Syuhadak dan Solihin,” katanya.

Dalam kejadian pagi semalam, 23 orang, termasuk dua orang warden terkorban dalam kebakaran berkenaan. – Sarawakvoice