Sempena Hari M’sia, IKRAM S’wak mohon masyarakat terus bersatu bangunkan negara

0
4

Tarikh keramat 16 September 1963, menjadi titik permulaan penubuhan Persekutuan Malaysia.

Kisah perjalanan Malaysia dipenuhi warna-warni.

Dalam menyoroti sejarah, penubuhan gagasan Malaysia turut sarat dengan perjuangan menuntut kemerdekaan dan kebebasan.

Dalam kenyataan media, Yang DiPertua IKRAM Sarawak Hj Ibrahim Mohamad berkata, hakikat penubuhan sesebuah negara dan masyarakat dalam perspektif Islam ialah kebebasannya daripada cengkaman kehidupan yang membelenggu pilihan dan kebebasan mereka.

Ini termasuklah cengkaman nafsu, pemikiran dan pemahaman yang salah, sesat, perbuatan yang jahat, cengkaman penjajah dan manusia yang jahat.

Kemerdekaan sesebuah negara dan masyarakat hanya akan wujud apabila ia bebas daripada cengkaman dan belenggu tersebut.

Mengisi Kemerdekaan

Menurut beliau, dalam memaknai erti kemerdekaan dan kebebasan, yang penting ialah bagaimana ia sepatutnya diisi atau diraikan, dipertahankan oleh rakyat dan pemerintah, bagaimana ia dapat dijadikan asas kepada perkembangan negara menuju sebuah negara rahmah mithali.

Rakyat dan pemerintah berperanan memajukan negara, menjaga hak semua warganya secara adil, tidak melakukan tindakan atau amalan yang memburukkan keadaan atau memundurkan negara serta menambah kesusahan rakyat.

“(Hal ini) meningkatkan keupayaan negara dan rakyat untuk terus berkembang maju, mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi lagi sehingga ia menjadi masyarakat dan negara yang berprestasi tinggi, maju dan kuat, menjadi ikutan dan contoh kepada dunia antarabangsa,” ujar Ibrahim.

 

Mengangkat Kesejahteraan Rakyat

“Sejajar gagasan Malaysia Menuju Negara Rahmah yang diidam-idamkan, IKRAM Sarawak mengharapkan agar pemerintah dan rakyat terus melaksanakan tugas masing-masing dengan sebaik-baiknya,” ujar Ibrahim.

“Tulus ikhlas bagi memajukan negara serta mengangkat status kesejahteraan kehidupan rakyatnya ke tahap yang lebih tinggi, berjaya menggerakkan pembangunan sebuah tamadun kemanusiaan yang mendekati kesempurnaaan dan mengkhidmati masyarakat manusia sejagat,” tambah beliau.

Bagi beliau, IKRAM Sarawak berharap agar keadilan sosial dapat terus ditegakkan khususnya dalam pengagihan ekuiti serta kekayaan kepada Sabah dan Sarawak.

“Kesaksamaan ekonomi, kelestarian pembangunan dan keharmonian antara kaum merupakan antara resipi utama ke arah Malaysia yang mapan.”

Menjunjung Perlembagaan, Integriti dan Amanah

Justeru, IKRAM Sarawak memperingatkan agar semua pihak sama ada pemerintah mahupun rakyat agar menjunjung tinggi perlembagaan, mengangkat nilai integriti, amanah dan tekun dalam usaha memajukan negara ke arah negara Mithali.

Mengakhiri kenyataan, beliau mendoakan semoga seluruh masyarakat Malaysia terus berganding bahu membangunkan negara Malaysia tercinta menuju mercu kejayaan hakiki! – Sarawakvoice