Pada 16 September 1963, Persekutuan Malaysia dilahirkan. Pemimpin utama Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Republik Singapura (keluar pada tahun 1965) mencapai kata sepakat untuk bersatu walaupun kita berbeza dalam banyak perkara — agama, kaum, bahasa, adat resam dan sebagainya.

Selama 54 tahun, apakah pengalaman yang dapat kita pelajari setakat ini. Apa yang jelas dalam perjalanan itu kita berhadapan dengan dua pendulum, iaitu detik penyatupaduan (moments of unity) dan detik perkelahian (moments of disunity).

Mengikut Profesor Ulung Datuk Shamsul Amri  Baharuddin, ‘detik penyatupaduan’ di Malaysia ini banyak. Antaranya adalah apabila berlangsung acara sukan seperti SEA Games, santai di kedai mamak, sambutan hari perayaan, majlis perkahwinan dan lain-lain lagi merupakan detik-detik kita meraikan kepelbagaian dan melupakan persengketaan.

Sementara itu, kita juga ada kalanya berkelahi sesama sendiri (moments of disunity) contohnya pada tahun 1965 (berakhir dengan pemisahan Singapura daripada Malaysia) peristiwa 13 Mei 1969, insiden Kampung Rawa dan Kampung Medan yang mengakibatkan kematian pada tahun 2001.

Foto Youtube

Tetapi mujurlah perkelahian sesama kita tidak berpanjang sehingga meranapkan segala pencapaian yang telah dibina selama ini seperti yang dialami beberapa negara lain yang juga bersifat multietnik sama seperti Malaysia.

Bermula pada tahun 2008 sehingga kini, pendulum dalam hubungan kaum di Malaysia kelihatan berada dalam zon berkelahi lebih banyak daripada zon ‘moments of unity’. Masyarakat kita seolah-olah terbahagi kepada dua kumpulan politik partisan, penyokong kerajaan dan pembangkang.

Kadangkala pihak kerajaan terikut-ikut dengan rentak pembangkang dan menghabiskan banyak masa melayan kerenah mereka. Dengan mandat yang diberikan menerusi proses PRU, kerajaan sepatutnya tidak perlu gusar dan terus fokus dalam agenda membawa pembangunan seperti yang telah dirancangkan menerusi rancangan pembangunan lima tahun.

Pengalaman pembentukan Malaysia mengajar kita bahawa bagi masyarakat yang rata-rata miskin dan bergantung kepada pertanian, merapatkan jurang pendapatan dan pengagihan ekuiti yang lebih baik menjadi kunci perpaduan bagi masyarakat pelbagai etnik di negara kita.

Kealpaan kita dalam menitikberatkan soal ekuiti ini menjadi punca kita berkelahi di Lembah Kelang pada 1969, di Kampung Medan pada 4 hingga 8 Mac 2001.

Sehubungan itu, untuk menolak semula pendulum supaya terus bergerak ke arah detik perpaduan dan entiti bernama Malaysia terus kekal teguh pada masa hadapan, agenda pembangunan dan pembahagian ekuiti mesti diberi keutamaan semula.

Beberapa tahun kebelakangan ini, negara berjaya membawa masuk modal asing khususnya daripada negara China dengan jumlah yang besar, mencecah hampir RM150 bilion menerusi perancangan beberapa projek mega.

Antaranya ialah pembinaan Forest City di Johor, pembinaan High Speed Rail (HSR) menghubungkan Singapura dan Kuala Lumpur, projek keretapi ke Pantai Timur (ECRL) dan pembesaran pelabuhan Kuantan.

Sejuah manakah projek-projek mega ini dapat melebarkan pengagihan ekuiti kepada penduduk tempatan menjadi pokok persoalan utama. Isu ini perlu penjelasan lebih lanjut daripada pihak kerajaan. Jika tidak, kita sekali lagi akan berada dalm pendulum partisan dan cenderung untuk berkelahi.

Kedudukan strategik di laluan maritim yang menjadi titik pertemuan antara timur dengan barat, utara dengan selatan telah menjadikan Malaysia terdiri daripada penduduk yang pelbagai. Tetapi kepelbagaian itu tidak memusnahkan kita. Kepelbagaian itulah kekuatan kita selama ini.

Sama seperti monsun Timur Laut dan angin monsun barat daya. Angin ini membawa hujan dan keseburan di tanah air kita. Angin itu sehingga kini, tidak membawa taufan seperti taufan Irma yang melanda dan melumpuhkan Florida baru-baru ini.

Selamat Menyambut Hari Malaysia! – Sarawakvoice