Pada masa kini terdua blok pembangkang di Sarawak. Satu berasaskan parti dari Semenanjung Malaysia manakala satu berasaskan parti anak negeri Sarawak.
Pakatan Harapan Sarawak
Sebuah gabungan ditubuhkan oleh DAP Sarawak, PKR Sarawak dan Parti Amanah Negara (Amanah)Negeri Sarawak ditubuhkan pada Mac 2017.
Penubuhan gabungan ini dikenali sebagai Pakatan Harapan Sarawak yang diterajui oleh Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian dan Pengerusi Amanah Sarawak, Fidzuan Zaidi.
Tujuan gabungan ini ditubuhkan oleh untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang akan diadakan pada bila-bila masa dalam tempoh setahun ini.
Fokus gabungan ini ialah pembahagian kerusi Parlimen yang akan ditandingi. Disebabkan PAS telah keluar dari Pakatan Rakyat, serpihan PAS, iaitu Amanah akan mengambil alih untuk bertanding di kawasan yang pernah ditandingi PAS.
Namun, dijangka PAS tidak akan memberikan ruang kepada Amanah untuk bertanding di kawasan tradisi mereka. Justeru, dijangka pertandingan tiga penjuru akan berlaku, antara calon BN, PAS dengan Amanah.
Berdasarkan pertandingan tiga penjuru ini dijangka, BN akan menang mudah hasil hasil daripada perpecahan pembangkang tersebut.
PH Sarawak lawan Parti Pembangkang Tempatan
Di kawasan PKR dan DAP pula , dijangka Parti Star dan PBDS (baharu) akan turut bertanding di kawasan Parlimen nanti. Hal ini berlaku kerana setakat ini tidak ada persepakatan antara PH Sarawak dengan Parti Star dan PBDS (baharu).
Maka, sekali lagi pertandingan tiga penjuru dijangka akan berlaku. Faktor ketidaksepakatan inilah yang menjadi antara faktor pembangkang di Sarawak semakin lemah.
Sekiranya PKR dan DAP tidak duduk berbincang secara rasional dan mendapat persetujuan sesama mereka, tidak mustahil PKR dan DAP akan bertembung sesama sendiri lagi pada PRU akan datang.
Rekod PKR dan DAP
Pada PRN Mei 2015, akibat tidak mahu mengalah dan berkompromi, maka berlakulah pertandingan sesama sendiri antara PKR dan DAP di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Hal ini menyebabkan PKR dan DAP yang dianggap parti alternatif di Sarawak, hilang kepercayaan secara merudum dalam kalangan rakyat Sarawak.
Akibatnya, DAP kalah dan ini memalukan pakatan pembangkang di Sarawak.
Kekalahan memalukan ini hasil perlawanan antara satu sama lain termasuklah DAP hilang lima kerusi DUN. DAP hanya berjaya menawan tujuh DUN pada tahun lepas.
Apa ada pada STAR dan PBDS (baru)?
Parti PBDS dan Star yang berasaskan parti politik tempatan tidak menarik perhatian Pakatan Harapan Sarawak untuk diterima sebagai gabungan bersama. Hal ini kerana parti tersebut dianggap sebagai parti kecil, calon dan kepemimpinan dianggap kurang berwibawa oleh Pakatan Harapan.
Buktinya, calon parti-parti tersebut seperti Star dan PBDS (baharu) selalu sahaja hilang deposit dalam pilihan raya negeri Sarawak.
Namun, pandangan ini tidak harus ada terhadap STAR dan PBDS (baru) sahaja. Amanah yang bertanding pada PRN lepas juga tidak sekuat seperti disangka. Buktinya, Amanah tewas dalam semua 13 kerusi yang ditandingi. Begitu juga PAS yang masih tidak diterima oleh rakyat Sarawak dari segi kemenangan kerusi.
Berdasarkan situasi, ini Pakatan Harapan dan Star, PBDS dan PAS perlu kembali ke meja perbincangan untuk memikirkan strategi mereka di Sarawak bersama-sama.
Kepembangkangan mereka tidaklah ada makna sekiranya masih bertembung sesama sendiri dan ini menjadi bahan ketawa rakyat.
Buangkanlah sifat seperti ketam di dalam bakul jika mahu menang! – Sarawakvoice