KABONG: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi wanita cedera parah dalam satu kemalangan yang berlaku di jalan raya di kawasan Sungai Pasir dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipandu seorang lelaki yang sedang dalam perjalanan dari arah Roban ke Kabong manakala motosilkal pula datang dari arah bertentangan.

Mangsa yang maut setakat ini dikenali sebagai Satu anak Lidang berusia dalam lingkungan 50-an berasal dari Ulu Sebetan Saratok.

Pembonceng motosikal berkenaan seorang wanita yang berusia dalam lingkungan awal 30-an yang juga menantu mangsa mengalami cedera parah dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kabong untuk rawatan awal. Mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Sarikei untuk rawatan lanjut. Identiti penuh mangsa setakat ini berlum diperoleh.

Mangsa yang kedua-duanya berbangsa Iban itu dikatakan balik dari menziarahi ahli keluarga yang meninggal di Rumah Panjang Ulu Alit.

Manakala pemandu kereta hanya mengalami cedera ringan.

Kemalangan berlaku ketika hujan lebat dan orang ramai yang lalu di kawasan kejadian telah membantu mengangkat mangsa yang kedua-duanya dikatakan tercampak ke dalam parit.

Mayat mangsa yang maut seterusnya dibawa ke Hospital Saratok untuk siasatan lanjut. – Sarawakvoice