Friday, October 7, 2022

Kerana berita tahfiz, bapa dan anak hampir dihempap kipas terbang

Secara Rawak

KABONG: Seorang bapa dan anaknya terselamat daripada dihempap kipas siling yang tiba-tiba terjatuh di rumahnya petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, seorang bapa berusia awal 50-an baharu balik dari tempat kerja dan duduk di meja makan di ruang dapur rumah bersama anak lelakinya.

Sudah menjadi kebiasaan kipas siling dihidupkan dan mereka duduk di meja makan di bawah kipas tersebut.

Bagaimanapun pada ketika itu juga bapa terbabit mengarahkan anaknya yang turut duduk di situ supaya ke ruang tamu bagi menukar siaran televisyen untuk mengetahui perkembangan tragedi kebakaran sekolah tahfiz di Keramat melalui siaran berita Bernama TV jam 2 petang.

Anak lelakinya bergegas ke ruang tamu dan sebaik siaran berita bermula si ayah terus bergerak ke ruang tamu juga untuk menonton siaran berita.

“Baharu saja saya nak duduk bagi menonton siaran berita, satu bunyi berdentum mengejutkan dari arah ruang dapur.

“Saya terus minta anak perempuan saya melihat apa yang berlaku. Anak saya terkejut melihat teko air terjatuh dan airnya tumpah dilantai.

“Kipas jatuh!, jerit anak saya dan saya bergegas dan terkejut apabila mendapati kipas siling menghempap barangan dan tersangkut di atas meja ketika itu,” ujarnya.

Mujurlah pada ketika itu mereka tidak lagi duduk di meja pada masa itu.

“Saya begitu tersentak. Dalam pada itu saya turut menarik nafas lega. Tidak dapat saya bayangkan kalau saya dan anak saya masih ada di situ mesti akan ada yang cedera. Apa yang dapat saya perhatikan kipas tersebut terus jatuh kerana kabel keselamatan pada kipas tidak dikunci ketat ataupun memang tidak dipasang oleh tukang yang memasang kipas itu sebelum ini. Jika dipasang kipas berkenaan kalau tercabut pasti akan hanya tergantung dan tidak menghempap,” jelasnya lagi.

Sehubungan dengan itu bapa tadi mengingatkan orang ramai agar memastikan kerja-kerja pemasangan kipas siling di rumah dilakukan mengikut langkah-langkah yang betul bagi mengelakkan perkara sama berlaku dan lebih penting bagi mengelakkan berlakunya kecederaan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru