Tiada kompromi maahad tidak penuhi keperluan keselamatan: Zahid

0
2

SIBU: Timbalan Perdana Menteri menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap isu kehilangan nyawa yang membabitkan pelajar maahad tahfiz di negara ini.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana tragedi malang ini terlalu kerap berlaku, setiap dua atau tiga tahun hingga mengorbankan nyawa, berpunca daripada kekurangan kemudahan asas di pusat-pusat tersebut.

Sehubungan itu katanya, beliau mahu sekolah-sekolah ini didaftarkan segera agar elemen-elemen keselamatannya dapat dipastikan tersedia.

“Kita tidak akan berkompromi dalam soal nyawa. Dalam mesyuarat koordinasi yang pernah saya lakukan sebelum ini, dengan Yayasan Pintar dan pengendali sekolah-sekolah maahad tahfiz ini, kita mahu supaya sekolah berkenaan bukan sahaja didaftarkan, tetapi mesti mempunyai spesifikasi yang memenuhi ciri-ciri keselamatan.

“Ini termasuk mewujudkan bomba sukarela di sekolah berkenaan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke dua buah sekolah di bandar ini.

Ahmad Zahid mengadakan lawatan khas ke Sekolah Menengah Kebangsaan Rosli Dhoby dan Sekolah Kebangsaan Ulu Sungai Salim, yang berhadapan masalah struktur bangunan yang tidak selamat diduduki.

Menurutnya lagi, berdasarkan semakan segera yang dilakukan pihaknya, Maahad Tahfiz  Darul Quran Ittifaqiyah  di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur yang mengorbankan 25 jiwa awal pagi tadi, tidak berdaftar dengan mana-mana pihak termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Selepas ini, saya juga akan menyemak sama ada maahad tahfiz itu berdaftar dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Yayasan Pondok Malaysia atau  Yayasan Pintar.

“Setakat ini, saya difahamkan sekolah berkenaan merupakan sekolah persendirian yang dibayai oleh pihak persendirian dan swasta,” katanya lagi.

Ahmad Zahid kemudian bergegas kembali ke Kuala Lumpur selepas sidang media tersebut untuk melawat lokasi dan keluarga mangsa yang terlibat. – Sarawakvoice