Friday, December 2, 2022

Najib terus berteka-teki: Bila agaknya PRU-14?

Secara Rawak

Ketika berbicara dengan seorang penganalisis politik terkemuka daripada sebuah universiti di Kuala Lumpur baru-baru ini, kami turut menyentuh tentang tarikh yang sesuai Perdana Menteri mengadakan pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Memang sehingga kini, banyak pihak membuat pelbagai ramalan – ada yang mengatakan tahun ini, dan tidak kurang pula pada tahun depan.

Kedua-dua pihak mempunyai alasan masing-masing.  Ya, justifikasi yang cukup meyakinkan.

Hakikatnya, hanya Datuk Seri Najib Razak dan Tuhan sahaja yang tahu tarikh yang bermain dalam kepalanya.

Kalaupun ada orang lain yang tahu tentu orang terdekat beliau, termasuk timbalannya,

Walaupun pelbagai tarikh telah dikaitkan dengannya, Datuk Seri Najib Tun Razak masih enggan memberi sebarang petunjuk bila pilihan raya ke-14 akan diadakan.

Jadi tidak hairanlah ketika berada di Washington DC, ketika ditanya seorang wartawan mengenainya pada akhir lawatan kerja tiga hari perdana menteri di sini Rabu, perdana menteri hanya ketawa dan berkata “Tunggu dululah.”

“Kamu hendak saya umumkan sesuatu di Washington D.C.? Kamu bergurau ya,” katanya seperti dipetik Bernama.

Mengenai sama ada beliau menganggap ini masa yang sesuai memandangkan semua perkara sedang memihak kepadanya. Najib menjawab: “Betulkah, kamu fikir begitu?”

Ini tentu termasuk kunjungannya ke Amerika Syarikat, dan pertemuan mesra dengan Presiden Donald Trump.

“Datuk (Seri) ada masa kurang setahun sahaja lagi,” kata wartawan itu.

“Setahun masa yang panjang (dalam politik),” jawab Najib yang melawat Amerika Syarikat atas jemputan Trump.

Kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan di Rumah Putih pada Selasa.

Mandat parti pemerintah Barisan Nasional yang dipimpin Najib akan berakhir pada Jun 2018.

Jadi bilakah masa yang sesuai untuk membubarkan Dewan Rakyat, dan seterusnya mengadakan PRU?

Faktor berkenaan tentu perlu memihak kepada beliau dan BN.

Hal ini penting, kerana PRU-14 dijangka amat sengit dan getir bagi BN.

Kami percaya bahawa PRU tidak akan diadakan tahun ini walaupun ada yang menjangka Najib akan mengumumkan selepas pembentangan Bajet 2018 pada Oktober ini.

Najib sebenarnya tidak perlu tergesa-gesa.

Anda masih ingat akan apa yang berlaku kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi? Beliau mengumumkan PRU jauh lebih awal daripada tarikh matang pada 2008.

Anda tahu kesudahannya, bukan?

Itu dalam keadaan Pak Lah amat yakin beliau menang disebabkan popularitinya ketika itu melantun di papan atas.

Akhirnya, disebabkan keputusan buruk, dan BN hilang majoriti dua per tiga, Pak Lah terpaksa melepaskan jawatannya.

Jika anda tanya Pak Lah, tentu beliau tidak akan kata beliau menyesal dengan keputusan itu. Tetapi hakikatnya lain.

Tentu, Najib tidak mahu kejadian sama menimpa beliau.

Kami percaya Najib akan mengadakan PRU tahun depan. Mungkin bulan Mac atau April. Yang pasti selepas Tahun Baharu Cina dan sebelum puasa.

Pertama, beliau perlu memastikan projek dan janji dalam Bajet 2018 dapat ditunaikan dan dinikmati rakyat.

Kedua, beliau hendak pastikan BR1M seperti yang dijanjikan dinikmati rakyat.

Ketiga, ketika itu, masalah Felda sudah tentu dapat diselesaikan, termasuk enam inisiatif yang dijanjikan beliau.

Kelihatannya, PRU akan diadakan tahun depan.

Namun, tidak salah untuk anda terus membuat ramalan sehingga lembu balik ke kandang. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru