KUCHING: Walaupun tidak menguasai bidang akademik, namun kemahiran kaum Penan mengenal pasti spesies tumbuhan di hutan Sarawak yang berpotensi untuk penyelidikan saintifik bidang perubatan, wajar dimanfaatkan.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengakui berdasarkan pengalaman beliau yang dekat dengan Penan sebelum ini, membuktikan Penan mahir mengesan spesis tumbuhan yang boleh digunakan untuk merawat penyakit atau gigitan haiwan berbisa.
Abang Johari ingat bagaimana Penan mendapatkan daun tumbuhan di hutan yang boleh menjadi penawar merawat racun bisa ular terhadap seseorang yang dipatuk ular ketika itu.

Bercakap pada Majlis Makan Malam Bersama Ketua Menteri Sarawak Bersempena Mesyuarat Majlis Kerjasama Kepimpinan Yayasan (MKKY) Ke-27 di Yayasan Sarawak, Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya, berkata, kaum Penan boleh dimanfaatkan membantu mencari spesis tumbuhan yang mempunyai protein yang dicari sebuah univerisiti.
Universiti terkemuka berkenaan terletak di Australia memerlukan tumbuhan yang mempunyai protein melengkapkan penyelidikan cetakan 3D genetik manusia.
Ketika ini kajian terbabit sudah mencapai kemajuan 60 hingga 70 peratus.
Menurut Abang Johari, penyelidik universiti terbabit masih belum menjumpai tumbuhan protein yang sesuai.
Jika bahan tersebut dijumpai, penyelidik dapat menggunakan teknologi tersebut bagi menghasilkan genetik DNA manusia, dengan teknologi berkenaan dapat digunakan mengubat kanser dan membaiki kerosakan organ manusia.
Beliau yang mengadakan lawatan ke universiti terbabit mencadangkan agar mencari protein yang sesuai untuk teknologi itu dari spesis tumbuhan yang terdapat di hutan Sarawak. – Sarawakvoice