Kabinet Pusat sangkal Rohingya dihantar ke Bau dan Serian — Riot

0
6

KUCHING: Mesyuarat Kabinet Pusat semalam memberi jaminan dan komitmen  bahawa pelarian Rohingya mencari perlindungan di Malaysia tidak akan dihantar ke Bau dan Serian.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, jaminan tersebut diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai mengulas laporan beberapa media tempatan selepas isu ini tular dalam media sosial.

“Saya ingin tegaskan bahawa isu yang mengatakan pelarian Rohingya akan dihantar ke Sarawak adalah palsu dan meminta semua pihak tidak percaya akan berita itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Riot menggesa mereka yang telah menerima berita dan maklumat berkait isu tersebut melalui media sosial agar segera membuat laporan kepada pihak berkuasa, agar siasatan lanjut boleh dilakukan.

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg semalam enggan mengulas tentang isu berkenaan.

Katanya, sebelum menjawab isu tersebut, harus dilihat siapa yang memulakannya.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Seri Michael Manyin membayangkan Kerajaan Negeri menolak penghantaran kumpulan pelarian itu ke Sarawak, terutama ke Bau dan Serian, seperti yang ditular. – Sarawakvoice

Gambar hiasan (Refugee Watch)