Jangan membenci Rohingya

SIAPA pula yang memandai-mandai membawa isu bahawa pelarian Rohingya ditempatkan di Sarawak?

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menafikan spekulasi mengatakan kerajaan menyediakan penempatan sementara untuk pelarian Rohingya di negeri ini.

Abang Johari berkata, memang tiada perancangan seumpama itu dan kerajaan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan membawa masuk pelarian Rohingya ke Sarawak.

Abang Johari selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) anjuran Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berasa hairan kerana kerajaan negeri memang tidak mahu terlibat dengan isu ini.

Minggu lepas Menteri Pendidikan, Penyelidikan Sains dan Teknologi, Datuk Sri Michael Manyin mengulas berkaitan maklumat palsu yang tersebar di media sosial mengatakan kerajaan menempatkan pelarian Rohingya di Serian dan Bau.


Muktamad!

Terlalu banyak bijak pandai di media sosial mengulas isu ini sehingga mereka terbaur perasaan dengan sentimen keterlaluan tidak lagi bercakap menggunakan akal waras.

Wah, banyak komen yang mencadangkan agar menyimpan Rohingya di rumah sendiri jika betul bersimpati dengan penindaan dan penghapusan etnik kaum ini?

Sejak bila Rohingya mengimpi mahu tinggal di Sarawak?

Sebahagiannya menuduh bahawa wajar Rohingya mendapat pembalasan sebegitu rupa kerana sikap mereka sendiri.

Ada yang mengulas berdasarkan kerangka kejadian semasa dan menghukum “wajar” Rohingya dinista oleh tentera Myanmar?

Konflik Dan Tragedi Ratusan Tahun Silam

Pengulas “bijak” ini tidak melihat keseluruhan kerangka malapetaka yang berlaku di Rakhine atau Arakan (Arkan bahasa Arab bermaksud rukun) di sekitar Maungdaw, Buthidaung, Rathedaung, Sittwe dan Kyauktaw.

Ia bukan kejadian dua minggu yang lalu atau 10 tahun silam.

Tetapi ia satu kisah sejarah yang panjang ratusan tahun silam, berlaku semenjak abad ke-8 Masihi dengan taraf kewarganegaraan yang dinafikan pada Perang Dunia Kedua.

Penduduk Arakan dibunuh dan dihapuskan secara besar-besaran sejak Myanmar menceroboh Arakan 1784.

Bahkan, 1.5 juta Rohingya dipaksa keluar dari tanah air mereka apabila junta tentera berkuasa sejak 1962.

Pada 1991, berlaku lagi kempen pembasmian etnik ini dengan mereka ditangkap, dibunuh malah wanitanya dirogol.

Konflik membabitkan Rohingya dan Rakhine kembali meletus pada 2012.

Wartawan BBC menulis, masyarakat Myanmar di Yangon tidak memanggil etnik ini sebagai “Rohingya”, tetapi mereka disebut sebagai “orang Benggali”, persepsi umum berbentuk celaan dan hinaan bahawa komuniti ini asal imigran dari Bangladesh.

Tak Sudi Memandang Tidak Mengapa

Sesiapa membenci, malah tidak mahu mempedulikan etnik ini, serahkan hal ini kepada mereka yang mahu mengendalikannya.

Tidak semua manusia bersifat hasad, membenci dan pendendam.

Konflik Rohingya bukanlah isu agama yang sewenang-wenangnya boleh dimainkan.

Tragedi Myanmar ialah konflik kemanusiaan yang melibatkan hati nuraini manusia.

Kini, hampir 300,000 warga Muslim Rohingya membanjiri Bangladesh, menyelamatkan diri dari kekerasan tentera Myanmar dalam sengketa yang meletus sejak 25 Ogos lepas.

Kalaupun ada sesiapa tidak menyukai etnik ini, tidak mengapa. Tidak mengambil mereka tinggal bersama atau diangkut untuk diletakkan di dalam kurungan pun tidak mengapa.

Atau sekalipun anda tidak mahu menghulurkan seteguk air atau sebungkus nasi, sehelai baju atau melempar wang seringgit, juga tidak mengapa.

Rezeki bukan manusia yang menentukan!

Sila tutup mata anda, tidak payahlah melihat sebuah “kecelakaan” yang cekal dipikul oleh orang lain.

Cukuplah anda memikirkan nasib sendiri, semoga berbahagia hendaknya sampai ke anak cucu.

Atau lebih baik, cukuplah anda menutup mulut atau berhenti mengutuk kaum ini, yang tidak meminta mereka dilahirkan menjadi Rohingya untuk dinista oleh orang yang lebih berkuasa dan bertenaga daripada mereka.

Warasnya, mengikut hukum logik sesiapa yang dibunuh atau ditembak, dihalau keluar, dibakar, dinista sehingga melarat menjadi pelarian, mereka adalah golongan yang tertindas.

Sejak bila pula undang-undang moral mengatakan orang yang memegang senjata dan berkuasa menindas menjadi golongan yang teraniaya?

Yang pasti, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) telah menyenaraikan Rohingya berjumlah 1.5 juta orang ini sebagai masyarakat yang menerima penindasan paling buruk di dunia!

Mesyuarat Kabinet Pusat semalam memberi jaminan pelarian Rohingya mencari perlindungan di Malaysia tidak dihantar ke Bau dan Serian.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, “saya ingin tegaskan isu yang mengatakan pelarian Rohingya akan dihantar ke Sarawak adalah palsu dan meminta semua pihak tidak percaya akan berita itu.”

Membantu dan bersimpati tidak semestinya sampai membawa mereka tinggal di rumah.

Bagi mereka yang punya saki baki hati nurani dan sedikit keinsafan, berdoalah kepada sesiapa sahaja yang teraniaya di dunia ini, tanpa mengira apa agama dianutinya dan warna kulit “dipakainya”, sesungguhnya doa orang teraniaya itu didengar Pencipta.

Hari ini hari mereka, esok pun hari mereka, tetapi “besok” belum pasti hari sesiapa pula?

Bukankah dunia ini sentiasa berputar? – Sarawakvoice