Ramai kurang puas hati  faedah tinggi pinjaman perumahan

KUALA LUMPUR: Semakin ramai tidak lagi menghadapi kesukaran untuk memperoleh pinjaman perumahan, namun ramai kurang berpuas hati, mahukan kadar faedah tinggi dikurangkan berdasarkan cabaran ekonomi semasa,

Menurut Tinjauan Sentimen Pengguna PropertyGuru Malaysia baru-baru ini menunjukkan 46% responden berkata kadar faedah terlalu tinggi berbanding 31% yang mengatakan kadar itu boleh diterima.

“Walaupun pinjaman diluluskan, dan semakin banyak permohonan bersama, ramai pengguna memperoleh margin pinjaman lebih rendah serta bayaran balik setiap bulan.

“Bank kini meluluskan lebih banyak permohonan, namun ada masanya pakej ditawarkan tidak menarik kepada pengguna,” kata Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez, dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan data PropertyGuru, 91% responden menyatakan mereka perlukan pinjaman bank untuk membeli rumah, dengan 45% memilih pembiayaan 90% manakala 25% lagi bersedia menerima pembiayaan antara 70-80%.

Sejumlah 18% lagi memilih pembiayaan 100%.

Keputusan itu selari dengan keputusan tinjauan mengatakan pasaran hartanah sudah mencapai kedudukan stabil dengan peningkatan harga secara beransur namun mapan, berbanding peningkatan ketara sejak 2 hingga 3 tahun lepas. – Sarawakvoice