BINTULU: Tiga maut dan seorang parah, termasuk dua warganegara China selepas pacuan empat roda yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori kargo yang terbabas di Jambatan Sungai Sebemban, Semarakan Jalan Bintulu-Tatau, pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 7.45 pagi tadi dan sebuah jentera Scania dan ambulans EMRS dikejarkan ke lokasi dengan kekuatan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu.

“Tiba di lokasi 28 minit kemudian, komander operasi melaporkan terdapat mangsa yang terperangkapn di dalam kenderaan yang terbalik di bahu jalan.

“Pasukan kemudian menggunakan “cutter” untuk memotong bahagian bumbung pacuan empat roda jenis Toyota Hilux untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap.

Setelah dikeluarkan katanya, tiga mangsa tidak lagi bernyawa manakala seorang parah.

“Mangsa yang maut kemudian diserahkan kepada pihak polis manakala penumpang yang parah dikejarkan ke Hospital Bintulu oleh pasukan paramedik.

Sementara itu, Timbalan Ketua Penguatkuasaan dan Siasatan Trafik Negeri, Deputi Superintendan Bingkok John ketika mengesahkan nahas tersebut berkata, kecuaian pemandu lori kargo yang gagal mengawal jarak kenderaan menjadi punca ia melanggar kenderaan di hadapannya sebelum terbabas ke lorong bertentangan.

“Ketika kejadian, lori terbabit dari arah Tatau menuju ke Bintulu.

“Apabila tiba di lokasi nahas, lori tersebut gagal dikawal lalu melanggar sebuah lori yang bergerak perlahan di hadapannya, sebelum terbabas ke kanan dan terbalik.

“Lori terbabit kemudian telah dirempuh pula oleh kenderaan Toyota Hilux yang datang dari arah bertentangan.

Mangsa yang maut katanya, dikenal pasti sebagai Kong Tze Hua, 57 tahun dari Sungai Durin, Sibu yang memandu pacuan empat roda tersebut.

“Dua lagi mangsa ialah warga China yang berkhidmat di XD Power Transmission (M) Sdn. Bhd.

“Identiti mereka kemudian dikenal pasti sebagai Zhao Shuguang, 51 tahun dan
Hao Ping, 44 tahun.

Seorang lagi rakan mereka, Tang Dingping, 43 tahun parah di bahagian dada, kaki kanan dan tangan kanan.

Dua rakyat tempatan yang memandu dan menjadi kelindan lori terbabit bagaimanapun hanya cedera ringan.

Kata Bingkok, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu lori terbabit telah ditahan untuk dirakam percakapan. – Sarawakvoice