KUCHING: Taman Allamanda di Jalan Matang, dekat sini menjadi lokasi terbaharu yang diisytihar sebagai kawasan jangkitan Rabies.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah dalam satu kenyataan berkata, pewartaan lokasi ke-24 itu dibuat lewat petang semalam setelah sampel yang dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinarđ (VRI) menunjukkan keputusan positif.

“Dua sampel yang diuji positif adalah daripada Lorong 2G, Taman Alamanda Indah dan Jalan Serian Bypass.

“Kedua-duanya dihantar untuk ujian Direct Fluorescent Antibody (FAT) pada 8 September lalu.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, deklarasi itu dilakukan di bawah di bawah Seksyen 37(1) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

Sebanyak 19 kawasan telah diisytiharkan sebagai kawasan Rabies di Bahagian Serian sejak 1 Julai lalu, manakala satu kawasan di Bahagian Sri Aman.

Termasuk Taman Allamanda Indah,  sejumlah empat kawasan telah diisytihar kawasan wabak tersebut di Bahagian Kuching.

Wabak Rabies di negeri ini telah meragut lima nyawa, termasuk seorang lelaki dewasa, manakala seorang kanak-kanak tujuh tahun masih kritikal. – Sarawakvoice