SIBU: Kerana mata kail, dua remaja dikhuatiri mati lemas apabila gagal timbul ke permukaan selepas terjun ke dasar Sungai Seduan, di Taman Perumahan Permai Jaya di sini petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, kedua-dua mangsa sebelum itu turun memancing dengan tiga rakan mereka yang lain, sebelum mata kail salah seorang mangsa lekat di dasar sungai.

“Mangsa pertama kemudian terjun untuk mengeluarkan mata kail tersebut, namun gagal timbul.

“Menyedari situasi tersebut, rakan yang lebih dewasa turut terjun untuk menyelamatkannya namun terus lesap sama.

“Pihak kami dimaklumkan tentang kejadian ini oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Sungei Merah sekitar jam 7.15 malam dan sebuah jentera FRT, sebuah ambulans EMRS serta tiga RRV dengan kekuatan 12 anggota diatur gerak ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungei Merah.

“Tiba di lokasi dalam tempoh 13 minit, pasukan mewujudkan Pusat Kawalan Bomba untuk merancang penyelamatan.

“Dua anggota Unit Penyelamat Di Dalam Air (PPDA) kemudian diturunkan untuk melakukan kerja selam dan pencarian.

“Pencarian dilakukan sekitar lingkungan radius 10 meter dari lokasi mangsa jatuh, namun gagal menemui sebarang petunjuk.

Kata Ling Hii, jarak lokasi mangsa lemas dari tebing sungai adalah dua meter manakala kedalaman sungai adalah di antara dua hingga lima meter.

“Sehingga operasi ditamatkan malam tadi, mangsa gagal ditemui.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diketuai Alimat Sam kemudian diteruskan sekitar 7.18 pagi tadi dengan dua anggota melakukan pencarian di permukaan sungai,” katanya sebentar tadi.

Identiti dua mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai James Tiong Kiong Hoe, 12 tahun dan Pau Chiong Huat, 18 tahun. – Sarawakvoice