KUCHING: Satu lagi kematian berlaku pada hari ini, yang berhubung kait dengan gigitan anjing.

Menurut sumber, mangsa yang meninggal dunia jam 5 pagi tadi dikenal pasti sebagai Jawa ak Junit, 64 tahun.

“Mangsa dipercayai mempunyai sejarah digigit anjing liar di ladangnya pada bulan Jun lalu, namun hanya dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 26 Julai.

“Bagaimanapun sukar untuk mengaitkan kematiannya dengan wabak Rabies kerana ujian makmal menunjukkan beliau negatif jangkitan tersebut.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan, Dr Jamilah Hashim mengesahkan bahawa mangsa jangkitan Rabies, seorang kanak-kanak berusia 7 tahun dari Kampung Kuala di Gedong, masih lagi kritikal.

“Beliau masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Paedatrik di Hospital Umum Sarawak dengan pemantauan yang ketat.

Wabak Rabies di Sarawak telah mengorbankan lima jiwa, dengan empat daripadanya adalah kanak-kanak. – Sarawakvoice