Friday, July 1, 2022

Najib lancar cendana, pacu pertumbuhan sektor seni budaya negara

Secara Rawak

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (Cendana) dan penyaluran peruntukan awal sebanyak RM20 juta kepada agensi itu untuk menerajui pembangunan seni budaya di Malaysia.

Najib berkata melalui pertemuan bersama penggiat seni baru-baru ini, mereka menyuarakan bahawa sektor seni budaya memerlukan suntikan baharu bagi mendorong ia berkembang menjadi satu komponen penting dalam negara kita.

“Kita telah melihat seni budaya merupakan satu komponen yang berpotensi yang belum lagi kita bangunkan ke tahap optimum.

“Oleh itu, hari ni saya isytiharkan bahawa ekonomi seni budaya adalah merupakan aset baharu Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Cendana itu di sini semalam.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Cendana, ditubuhkan kerajaan menerusi MyCreative Ventures, berpandukan wawasan untuk membina ekonomi kebudayaan yang pesat berkembang dan penuh inspirasi bagi Malaysia serta boleh dikongsi bersama seluruh rakyat dengan menumpukan usaha menyokong pembangunan sektor seni dan budaya dalam industri kreatif serta mempromosikannya kepada khalayak yang lebih luas.

Cendana ditadbir oleh Jawatankuasa Penasihat Eksekutif yang memantau pembangunan dan pelaksanaan strategi korporat serta memastikan objektifnya dicapai.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Penasihat Komunikasi Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan dan dianggotai beberapa tokoh antaranya Ketua Pegawai Eksekutif MyCreative Ventures Johan Ishak, Pengarah Urusan Yayasan Hasanah Shahira Ahmed Bazari, Ketua Pegawai Operasi Bursa Malaysia Datin Azalina Adham dan Naib Presiden Perniagaan Bahasa Melayu Astro Datuk Khairul Anwar Salleh.

“Kita mempunyai nilai-nilai seni budaya yang bukan sahaja perlu dipertahankan tetapi terus dibangunkan sebagai punca kekuatan dan kebangaan untuk rakyat Malaysia,” kata Najib.

Beliau berkata penubuhan Cendana mestilah berlainan daripada badan lain yang tidak seharusnya dipimpin oleh orang politik atau birokrat tetapi oleh golongan seni sendiri.

Perdana menteri berkata sektor seni budaya adalah komponen terakhir transformasi ke arah menjadi negara maju.

“Kita mahu Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang kaya dengan warisan, tapi warisan semata-mata tidak memadai, kita harus membangunkannya…hanya selepas itu negara kita akan mempunyai sumber aspirasi baharu,” katanya. – Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru