KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki maut selepas kenderaan Perodua Axia yang dipandunya melanggar bahagian belakang sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Kuching-Samarahan Expressway di sini, awal malam semalam.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 7.36 malam dan sebuah jentera FRT dengan kekuatan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya.
“Tiba 23 minit kemudian, pasukan mendapati mangsa yang tidak sedarkan diri masih tersepit di dalam kenderaan Axia yang remuk di bahagian hadapannya.
“Pasukan kemudian membuat ruang sebelum mengeluarkan mangsa dengan menggunakan ‘stretcher’.
Mangsa katanya, bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Hospital Umum Sarawak yang tiba kemudian dan mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi berakhir lebih dua jam kemudian dan laluan berkenaan menjadi sesak menjangkau empat kilometer hingga jam 10.40 malam.
Identiti mangsa kata Ling Hii, kemudian dikenal pasti sebagai Jackson Lim Kui Hong, 36 tahun. – Sarawakvoice