Lagi bapa ratah anak sendiri, kali ini di Sarikei

SARIKEI: Satu lagi kes inses atau sumbang mahram dilaporkan hari ini, melibatkan ayah kandung sendiri.

Menurut Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar, kes terkini itu terbongkar sekitar jam 10.35 pagi semalam, apabila seorang pelajar Tingkatan Tiga SMK Sungai Paoh, di sini mengadu sakit di bahagian perut kepada warden asrama.

“Mangsa kemudian menceritakan kepada warden terbabit bahawa bapa kandungnya telah memperkosanya.

“Terkejut akan pengakuan terbabit, warden terbabit segera membawa mangsa ke Hospital Sarikei sekitar jam 12.40 tengah hari tadi untuk pemeriksaan.

Pegawai perubatan di Bahagian Kecemasan Hospital Sarikei katanya, kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Mangsa kini masih berada di Wad Perubatan Wanita, Hospital Sarikei untuk pemeriksaan lanjut.

Kata Dev, berdasarkan siasatan awal, mangsa mendakwa diperkosa di rumah keluarganya di sebuah rumah panjang di Sungai Bulat, Sarikei sejak Julai lalu.

“Bertindak atas maklumat tersebut, suspek, seorang buruh kasar berumur 38 tahun telah ditangkap sekitar jam 4.00 petang tadi di pekarangan Wad Kecemasan Hospital Sarikei ketika datang melawat mangsa,” katanya lagi. – Sarawakvoice